fbpx

Fajarbaru dapat kontrak RM120.82 juta daripada Tanjung Nakhoda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fajarbaru sedang membina projek pembangunan baharu untuk menambah portfolio perniagaannya. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Fajarbaru Builder Group Bhd (Fajarbaru) telah meraih kontrak daripada Tanjung Nakhoda (M) Sdn Bhd (Tanjung Nakhoda) untuk  pembinaan dan penyiapan kerja-kerja yang separa siap bagi Kelab Golf & Desa Johor (JGCC) yang ikonik.

Anak syarikat milik penuh Fajarbaru, Fajarbaru Builder Sdn Bhd (FBSB) telah menerima surat anugerah daripada Tanjung Nakhoda untuk kontrak yang bernilai RM120.82 juta.

Projek yang  melibatkan pembinaan dan penyiapan rumah kelab dua tingkat beserta tempat letak kereta, kompleks sasar pandu empat tingkat, dewan serbaguna satu tingkat, rumah pengawal dan sebuah sub-stesen elektrik dijangka siap dalam tempoh 90 minggu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, penganugerahan kontrak tersebut adalah kepakaran dan kredibiliti pihaknya dalam industri pembinaan.

“Kami berbangga untuk terlibat dalam projek untuk salah satu kelab golf dan desa yang paling ikonik di Malaysia. 

“Kami akan bekerjasama rapat dengan Tanjung Nakhoda dan pemain lain yang terlibat dalam projek ini untuk memberikan JGCC penampilan yang lebih moden dan canggih yang memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Sehingga 26 Februari 2024, bahagian Pembinaan Fajarbaru kini mempunyai buku pesanan berjumlah RM795 juta dengan pelbagai projek seperti bangunan kediaman bertingkat tinggi, pangsapuri mampu milik, kompleks runcit, pangsapuri perkhidmatan, dan pembangunan semula kemudahan tentera. 

Kumpulan sedang membida tender untuk projek pembinaan dengan nilai gabungan RM4.7 bilion, merentasi sektor swasta dan kerajaan.

Bagi suku berakhir 31 Disember 2023, (S2 TK2024), Fajarbaru melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM20.88 juta, lonjakan yang luar biasa sebanyak 606 peratus berbanding keuntungan bersih sebanyak RM2.96 juta yang dilaporkan pada suku pertama kewangan tahun 2024. 

Hasil berjumlah RM126.79 juta, menandakan peningkatan 74 peratus yang memberangsangkan berbanding suku pertama tahun kewangan yang sama. 

Prestasi yang lebih baik bagi suku kedua didorong terutamanya oleh segmen pembangunan hartanah Kumpulan. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI