fbpx
AMRI ternampak kelibat susuk seolah-olah seorang perempuan sedang menarik kakinya ketika mandi di air terjun Sagil, Gunung Ledang, Johor. – Ilustrasi Shah Hasan

Hampir lemas ‘ditarik’ puaka air terjun Sagil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KATA orang tua, ketika di kawasan hutan, kita tidak boleh bermulut lancang kerana takut berakhir dengan musibah.

Tambahan pula, jika kawasan itu sudah dikenali dengan kisah mistik seperti memiliki penunggu atau tempat tinggal makhluk ghaib.

Nasihat itu turut dipegang oleh Amri (bukan nama sebenar) yang sebelum ini pernah berdepan kejadian menyeramkan kerana tidak mempercayai kewujudan makhluk halus.

Katanya, dia membesar di luar negara bersama keluarga berikutan bapanya bertugas di sana.

“Ayah merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat di Britain dan persekitaran saya membesar banyak dipengaruhi dengan budaya di sana.

“Apabila berkisar tentang hal mistik, pada saya ia cuma rekaan kerana di Barat hantu yang dalam pengetahuan hanyalah ‘vampire’ atau ‘dracula’,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Tambah anak sulung daripada tiga beradik itu, dia pulang ke tanah air di Tangkak, Johor ketika sekolah menengah.

Selepas pulang ke Malaysia, dia baru mengetahui akan kewujudan hantu versi tempatan daripada cerita rakan-rakan atau filem.

Ketika itu, Amri tidak mempercayai kewujudan hantu-hantu tersebut kerana dia menganggap ia hanya rekaan untuk menakut-nakutkan anak kecil atau melariskan filem di pawagam.

Namun, persepsi itu berubah apabila dia dan rakan-rakan pergi bermandi di air terjun Sagil, Gunung Ledang.

Ketika itu, dia tidak menyangka bahawa akan berdepan dengan situasi menyeramkan sewaktu asyik mandi di sana.

Sebelum kejadian itu, Amri sudah diperingatkan supaya tidak bercakap besar ketika berada di hutan atau kawasan sekitar Gunung Ledang.

“Saya memang tidak percaya akan wujud makhluk halus. Apabila diberitahu Gunung Ledang ada orang bunian, saya hanya ketawa.

“Tetapi semasa hari kejadian, saya sudah merasa tidak sedap hati.

“Bagaimanapun, keterujaan mahu mandi air terjun, perasaan itu tidak diendahkan,” ujarnya.

Kata Amri lagi, semasa sampai di sana, dia dan rakan-rakan terus ke tempat mandi paling tinggi kerana terdapat lubuk untuk mereka berenang di sana.

Semasa menaiki tangga melalui denai ke kawasan tempat mandi, salah seorang rakan Amri ada mengingatkan mereka supaya membaca doa supaya tiada sebarang gangguan.

Namun, Amri berseloroh dengan mengatakan bahawa gangguan itu hanya untuk orang pengecut kerana tiada apa-apa perlu ditakutkan.

“Kawan saya tegur, jangan cakap besar nanti terkena batang hidung sendiri, tetapi saya hanya gelakkan sahaja.

“Hal itu menyebabkan saya sendiri diganggu ketika sedang mandi. Sewaktu sedang berenang, saya berasa seperti ditarik ke dasar sungai meskipun kedalamannya hanya paras dada,” kongsinya.

Amri berasa seolah-olah mahu lemas dan dalam situasi mencemaskan itu, dia membuka mata di dalam air sebelum ternampak susuk menyerupai seorang perempuan sedang menarik kakinya.

Amri cuba menyelamatkan diri sebelum akhirnya ditarik keluar dari sungai oleh salah seorang rakan.

Disebabkan perasaan takut, Amri kemudian pengsan tidak sedarkan diri.

Amri kemudian dibawa oleh rakan-rakannya ke klinik berdekatan sebelum tersedar.

Selepas kejadian itu, Amri mengalami demam panas yang tidak kebah meskipun sudah makan ubat.

Disebabkan demamnya bukan kerana kuman atau virus, Amri meminta tolong bapanya untuk mendapatkan khidmat rawatan tradisional.

Bapanya membawa Amri bertemu seorang ustaz dan dia diberitahu bahawa demam yang dialami disebabkan ‘ditegur’ makhluk halus.

Amri diberikan air penawar oleh ustaz tersebut dan tidak lama selepas itu keadaannya semakin baik.

Sejak kejadian itu, Amri sedar akan silapnya kerana tidak mempercayai kewujudan makhluk halus dan alam ghaib.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN