fbpx

Kerajaan setuju laksana semula dasar pengecualian kabotaj kapal asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke pada sidang akhbar berkenaan Dasar Kabotaj di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan semula pengecualian dasar kabotaj untuk kapal-kapal asing yang terlibat dalam semua kerja membaiki kabel dasar laut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.

Beliau berkata, langkah ini amat penting untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dalam industri pusat data dan merancakkan pertumbuhan ekonomi digital.

“Keputusan ini adalah susulan daripada pelbagai sesi libat urus dengan syarikat-syarikat gergasi teknologi maklumat antarabangsa dalam tempoh beberapa bulan lalu.

“Keputusan itu sekali gus membuktikan Kerajaan Madani mengamalkan dasar mesra pelabur dan memudahkan kemasukan pelaburan asing,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, Jemaah Menteri hari ini juga bersetuju melaksanakan semula dasar kabotaj untuk kapal-kapal yang menjalankan perkhidmatan kargo dari Semenanjung ke Sarawak.

Anthony Loke berkata, langkah ini diambil atas permintaan Kerajaan Sarawak untuk menyokong pertumbuhan industri perkapalan tempatan yang terancam dengan pengecualian dasar kabotaj sejak 1 Jun 2017.

Menurutnya, Sarawak mempunyai industri perkapalan yang sangat besar termasuk pembinaan dan pembaikan kapal dan beberapa syarikat perkapalan Malaysia berpangkalan di Sarawak.

“Keputusan sebelum ini dilihat telah pun membantutkan perkembangan industri perkapalan khususnya di Sarawak.

“Sebelum pengecualian dasar kabotaj, ada 12 syarikat perkapalan Malaysia yang aktif dalam perkhidmatan kargo tetapi selepas beberapa tahun ini, kita tinggal hanya lima syarikat yang aktif,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI