fbpx

PATI duduk rumah teres dalam pembinaan dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SERAMAI 232 PATI dicekup dalam serbuan di tapak pembinaan rumah teres di Tiang Dua, Melaka, awal pagi tadi. - Foto SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Seramai 232 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dicekup Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi bersepadu Op Sapu di sebuah tapak pembinaan kediaman teres di Tiang Dua di sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan selama empat jam sehingga pukul 3 pagi itu, kesemua PATI ditahan berusia 24 hingga 70 tahun dari Bangladesh, Indonesia, Pakistan dan Myanmar.

Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, hasil risikan dilakukan, seramai 356 pekerja warga asing dikepung dan 232 daripada mereka telah ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Mengikut pecahan, seramai 82 lelaki dan 12 wanita dicekup adalah warga Indonesia, manakala 134 lelaki dari Bangladesh, seorang Pakistan dan tiga lelaki Myanmar.

“Kebanyakan mereka ditahan ketika sedang tidur di rumah kongsi serta rumah teres yang masih dalam pembinaan, malah ada yang bersembunyi dalam longkang,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat operasi.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebahagian PATI memberikan alasan menggunakan rumah yang sedang dibina sebagai kediaman mereka ekoran rumah kongsi yang ada sudah terlalu padat.

“Kesemua disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) AI 1959/63 kerana gagal kemukakan dokumen perjalanan sah dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI