fbpx

Jualan, permintaan domestik kukuh, pacu perolehan Nestle kepada RM1.69 bilion suku keempat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelbagai jenama popular di bawah keluaran Nestle berjaya memenuhi kehendak dan keperluan rakyat Malaysia sehingga kini. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Nestle Malaysia mencatat perolehan sebanyak RM1.69 bilion dengan kenaikan 2.3 peratus bagi suku keempat tahun kewangan 2023  (S4) dipacu oleh pertumbuhan domestik positif dan penurunan kecil jualan eksport berbanding paras jualan yang tinggi pada tahun sebelumnya.

Untung Sebelum Cukai dalam tempoh tersebut pula lebih rendah sedikit berjumlah RM176.7 juta, terutamanya disebabkan perbelanjaan operasi lebih tinggi. 

Untung Selepas Cukai meningkat kepada RM148.1 juta, terutamanya ekoran ketiadaan Cukai Makmur yang dikenakan pada tahun 2022.

Bagi tahun penuh berakhir 31 Disember 2023, Kumpulan mencatat perolehan sebanyak RM7.05 bilion, iaitu kenaikan 5.8 peratus  berbanding RM6.66 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Jualan domestik kekal sebagai pemacu utama, didorong oleh permintaan pengguna yang tetap kukuh. Namun angka ini diimbangi sebahagiannya oleh jualan eksport lebih rendah berbanding 2022, dengan lonjakan ketara berlaku berikutan pelonggaran sekatan pandemik global.

Dalam tempoh sepanjang 12 bulan itu juga, Kumpulan mencatatkan untung sebelum cukai sebanyak RM879.1 juta dan untung selepas cukai sebanyak RM659.9 juta. 

Prestasi ini dicapai menerusi jualan lebih tinggi dan tumpuan berterusan Kumpulan untuk meningkatkan kecekapan dalaman dan pelaksanaan inisiatif penjimatan, yang membantu mengurangkan kesan harga komoditi dan kadar tukaran mata wang yang kurang menguntungkan.

 Untung Selepas Cukai lebih tinggi turut dicapai kerana cukai lebih rendah dengan ketiadaan Cukai Makmur yang dikenakan pada 2022.

Mengulas mengenai pencapaian tersebuti, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle,  Juan Aranols berkata, sehingga suku terakhir tahun dilaporkan, pihaknya mengekalkan tumpuan kepada misi teras menyediakan makanan dan minuman berkualiti yang memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat Malaysia.

Pihaknya mahu memanfaatkan peluang untuk mendorong permintaan dalam suasana yang lebih tenang di mana rakyat Malaysia lebih teliti perbelanjaan masing-masing, sedangkan persaingan amat sengit. 

“Resipi kami untuk sekali lagi mencatatkan pertumbuhan pada tahun yang dilaporkan tidak berubah iaitu mahu terus merebut semua peluang penggunaan meliputi jenama dan produk, memanfaatkan kekuatan portfolio yang sedia ada, mempelopori inovasi dan mencapai kecemerlangan pelaksanaan komersial,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Gambar hiasan

Sejajar dengan komitmen Kumpulan untuk menjana nilai bagi pemegang saham, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim ketiga RM1.28 sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, 6 sen lebih tinggi berbanding dividen interim 2022.

Mengulas mengenai prospek tahun 2024, Aranols memaklumkan bahawa, pihaknya pasti berdepan dengan cabaran seperti turun naik mata wang dan harga komoditi yang berterusan, serta sentimen pengguna yang lebih lemah dan juga kesan ke atas kuasa beli berikutan inflasi berterusan sejak beberapa tahun lepas.

“Kami akan meneruskan usaha dalam konteks apa yang telah kami lakukan dalam tempoh 112 tahun lepas di Malaysia, membekalkan produk bermutu tinggi, lazat dan berkhasiat yang memenuhi keperluan dan jangkaan rakyat tempatan sambil mencetus perubahan bermakna dalam masyarakat menerusi nilai-nilai kami, inisiatif kemasyarakatan kami, usaha kami ke arah kelestarian dan peralihan kepada masa depan lebih hijau buat semua.”

“Rancangan pelaburan kami yang disusun rapi sebelum ini sedang dilaksanakan dan kami akan membina asas bagi mencapai pertumbuhan lanjut untuk tahun-tahun yang mendatang.

“Bagi tahun kewangan 2024, kami juga yakin akan mencatatkan prestasi mantap dan memenuhi jangkaan para pemegang saham kami,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI