fbpx

Bandar baru, kompleks perniagaan bakal beri limpahan ekonomi di Batang Padang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (kanan) ketika bercakap pada Sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

IPOH – Pembangunan Bandar Baru Tapah Road di Batang Padang merupakan antara projek pembangunan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang bakal memberi limpahan ekonomi terhadap warga daerah berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek pembangunan bandar baru tersebut adalah berdasarkan kepada Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 yang menjadi sebahagian daripada skop Perak Sejahtera 2030.

“Satu projek bandar baharu yang berkeluasan 1,618 hektar berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tapah akan dibangunkan dan dijangka menjadi nadi pertumbuhan ekonomi baharu di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning) yang ingin tahu perancangan khusus dalam masa terdekat bagi membolehkan masyarakat di Daerah Batang Padang terutamanya DUN Ayer Kuning untuk menikmati limpahan ekonomi daripada perancangan sedia ada.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, pembangunan Kompleks Perniagaan Bidor Sentral Projek merupakan projek pemangkin yang mana terdapat sebuah bangunan Terminal Bidor Sentral yang menyediakan perkhidmatan terminal bas, pusat boling, supermarket, dewan konvensyen, dewan badminton dan kemudahan sokongan lain.

Beliau berkata, projek yang dilaksanakan oleh Syarikat Perak Transit Berhad itu telah mencapai tahap 90 peratus siap dan dijangka akan mula beroperasi tidak lama lagi.

Sementara itu, katanya, Bandar Integrasi Hub Getah Bidor (Bidor Glove City) pula merupakan projek Flagship dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang 2035 (Penggantian) dan telahpun diluluskan Kelulusan Merancang (KM) bagi fasa 1 (98.6 hektar) dan Fasa 2 (26.7 hektar).

“Keseluruhan tapak projek adalah berjumlah 349 hektar. Projek yang sedang dibangunkan ini adalah berkonsepkan perindustrian produk yang berasaskan getah atau sarung tangan.

“Projek ini dilihat dapat menyokong kepesatan pembangunan dan keperluan industri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan DUN Ayer Kuning,” katanya.

Bagi sektor pelancongan pula, menurut Saarani, terdapat empat kategori produk pelancongan yang difokuskan di daerah itu iaitu ekopelancongan, agropelancongan, pelancongan warisan dan budaya serta pelancongan makanan dan minuman seperti yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Daerah Batang Padang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI