KUALA KANGSAR – Pengusaha tanaman dan penternak di daerah ini berdepan risiko tanaman rosak susulan cuaca panas dan kering sejak dua minggu lalu.
Selain itu, mereka turut berdepan kenaikan kos apabila terpaksa menggunakan jentera dalam tempoh yang lama bagi memastikan tanaman segar.
Seorang petani, Mohamad Helmi Muhammad Rozi, 43, berkata, dia yang mengusahakan tanaman cili, timun, terung, labu air dan labu manis kini mula menerima kesan daripada cuaca ekoran fenomena El Nino.
Menurutnya, keadaan panas sejak dua minggu lalu menyaksikan peningkatan penggunaan pam letrik bagi memastikan tanaman mendapat air secukupnya.
“Tanaman saya memerlukan air yang banyak, justeru kita terpaksa menggunakan pam elektrik lebih masa dan ini seterusnya meningkatkan kos pertanian dalam keadaan serba mencabar kini.
“Oleh itu, untuk menambah hasil tanaman tidak sesuai dan bakal menimbulkan masalah ekoran suhu panas membuatkan anak-anak pokok lemah dan tak mampu bersaing dengan cuaca yang panas. Justeru, berlaku sikit penurunan (hasil),” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Jabatan Meteorologi sebelum ini meletakkan kawasan Kuala Kangsar berada pada Tahap Satu atau berjaga-jaga, iaitu suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah celsius.
Tambah Mohamad Helmi, cuaca panas berpanjangan itu dikhuatiri mencipta sekali lagi episod hitam buat dirinya apabila beberapa tahun lalu projek ternakan ikannya musnah akibat dilanda banjir pada 2016.
Rentetan itu, Mohamad Helmi kemudian mencuba bidang pertanian sejak 2018 dan hasil tanaman dihantar terus ke pasar borang dan kedai-kedai sekitar Manong dan Kuala Kangsar.
Situasi sama turut membelenggu seorang lagi petani, Khairul Muis Mohamed Yusof, 38, yang memaklumkan, ternakan kambing, lembu dan kerbau yang diusahakan sedikit terjejas apabila rumput padang ragut rosak akibat cuaca panas.
Katanya, dia kini mengusahakan ladang ternakan di Kota Lama Kanan di sini, dengan 220 ekor kambing dan biri-biri selain 20 ekor kerbau dan 50 ekor lembu.
“Cuaca panas memberi kesan apabila rumput kurang subur, sudah dua minggu keadaan itu berlaku. Saya terpaksa mengeluarkan bajet lebih untuk makanan kesemua ternakan,” ujarnya.














