fbpx

Jangan mudah percaya tawaran umrah libatkan maula – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Na'im.

KUALA LUMPUR – Umat Islam yang ingin menunaikan umrah dinasihatkan agar lebih berhati-hari dengan tawaran mengerjakan umrah bersama-sama maula.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar, mana-mana individu yang berhasrat untuk mengerjakan umrah perlu menyemak terlebih dahulu dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) mengenai kesahihan program tersebut.

“Jangan mudah terpengaruh dan taksub, kita kena hati-hati. Ramai orang Islam yang berhasrat untuk menunaikan umrah masih tertipu dengan pakej tertentu walaupun tidak ada sebarang maula yang terlibat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Akad Nikah Rahmah 2024 di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Na’im, orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu kesahihan program umrah yang ingin disertai, sama ada agensi tersebut mempunyai sijil daripada Motac atau tidak.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata mana-mana individu yang mendakwa ditipu agar membuat laporan kepada pihak berkuasa secepat mungkin.

“Nasihat saya buat semakan secara terperinci agar kita tidak ditipu. Individu yang didakwa ditipu saya nasihatkan agar buat laporan supaya tindakan susulan itu boleh diambil,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan, terdapat satu program umrah tular di aplikasi Telegram.

Program ‘umrah dan ziarah bersama Maula Muhammad Amin Al Hasani ke Kota Unik, Kota Madinah’ itu menjemput umat Islam di negara ini untuk menunaikan umrah.

Melalui program tersebut, seramai 100 mangsa mendakwa telah ditipu pakej umrah tersebut yang turut memberikan peluang kepada peserta untuk bertemu dengan seorang lelaki yang dikatakan sebagai ‘keturunan’ Nabi Muhammad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI