fbpx

Empat lelaki menyamar polis, samun berkumpulan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barang yang dirampas pihak polis.

AMPANG JAYA – Empat lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dengan kes samun dan menyamar sebagai polis di Pandan Indah, di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga Bangladesh Khamis lalu yang memaklumkan telah disamun enam lelaki tidak dikenali memakai vest.

Katanya, lelaki-lelaki tersebut turut membawa senjata seperti gunting besar dan tukul serta memaklumkan mahu membuat operasi.

“Setelah kesemua suspek masuk ke dalam rumah, pengadu serta tujuh mangsa lagi yang juga warganegara asing, telah diminta duduk di ruang tamu rumah dan dijaga oleh dua orang suspek.

“Suspek lain kemudian telah menyelongkar setiap bilik di rumah tersebut dan mengambil wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan dokumen peribadi milik pengadu dan rakan-rakannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, setelah menggeledah dan mengambil barang serta wang tunai, kesemua suspek telah beredar dari rumah tersebut dengan menaiki kenderaan.

“Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya telah menahan empat lelaki warga tempatan berusia 30 tahun hingga 44 tahun di sekitar kawasan Kuala Lumpur.

“Polis turut merampas 31 biji telefon bimbit, vest tulisan “Polis”, pakaian, tukul besi, kuku kambing, spanar, playar, wang tunai dan tiga buah motokar bagi membantu siasatan.

“Modus operandi kesemua suspek adalah menyamar sebagai polis dengan menggunakan senjata dan menyasarkan rumah warganegara asing berpenghuni bagi melakukan samun berkumpulan,” ujarnya.

Katanya, semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai 11 rekod lampau dan dua masih dikendaki kesalahan dadah.

“Suspek kedua mempunyai tujuh rekod lampau, suspek ketiga tiada rekod lampau dan suspek keempat mempunyai lima rekod lampau.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan dapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, Amp dan Opiate,” ujarnya.

Jelasnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Mahkamah Ampang bagi permohonan tahanan reman dan dibenarkan selama tujuh hari, bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan rompakan berkumpulan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan merujuk kepada menyamar penjawat awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI