fbpx

4 nama besar ‘letak tepi’ Anugerah Juara Lagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI Nurhaliza, Yuna, Faizal Tahir dan terbaharu Jamal Abdillah memilih untuk berehat daripada menyertai acara muzik paling ulung negara, Anugerah Juara lagu (AJL) atas sebab-sebab tertentu.

HANYA berbaki sekitar seminggu sahaja lagi sebelum berlangsungnya malam pengiktirafan penuh berprestij dunia muzik tanah air, Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).

Seperti tahun-tahun terdahulu, AJL38 turut sarat kontroversi bermula dari pentas separuh akhir dengan pelbagai isu tercetus termasuk tindakan beberapa penyanyi dan pencipta lagu memilih menarik diri atas pelbagai alasan.

Gala minggu ini menampilkan beberapa penyanyi tanah air yang pernah memutuskan untuk tidak bertanding dalam AJL termasuk semasa musim terdahulu.

  • Datuk Seri Siti Nurhaliza

Umum mengetahui bahawa sudah lebih 16 tahun Penyanyi Nombor Satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menarik diri daripada menyertai sebarang pertandingan, termasuklah AJL.

Difahamkan, keputusan dibuat penghibur terkenal itu adalah untuk memberi laluan dan peluang kepada penyanyi lain berentap meraih pengiktirafan.

Malah, lagunya berjudul Anta Permana yang berjaya bolos ke pentas akhir AJL34 sebelum ini terpaksa digantikan dengan penyanyi Bob Yusof.

Begitupun, demi menghormati pencipta lagu dan penulis lirik, penyanyi berusia 46 tahun itu mengejutkan ramai apabila muncul di pentas menyampaikan lagu tersebut bersama Bob.

Usaha tersebut tidak sia-sia apabila dendangan berkenaan mendapat tempat ketiga pada malam tersebut.

Pada AJL35 pula, lagu Aku Bidadari Syurgamu terpaksa digantikan dengan penyanyi legenda Datuk Aishah, manakala karya 7 Nasihat alunan bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta digantikan Shiha Zikir.

  • Yuna

Siapa tidak kenal dengan bintang ‘mendunia’, Yuna yang sudah beberapa kali menarik diri daripada bertanding di pentas AJL dek kepadatan jadual.

Enggan membiarkan karyanya disia-siakan kendatipun tidak dapat beraksi sendiri, penyanyi itu pernah menggunakan khidmat Aizat Amdan menggantikan posisinya menyanyikan lagu Terukir Di Bintang pada AJL27.

Tuah terus berpihak kepadanya apabila lagu ciptaan sendiri itu diangkat sebagai juara AJL27. Terjerat situasi sama pada AJL29, Yuna sekali lagi berundur dan diganti Najwa Mahiaddin & The Palauans menerusi lagu berjudul Lelaki. Janji Yuna, dia tetap bertanding di pentas AJL sekiranya masih berpeluang.

 

  • Faizal Tahir

Lebih sedekad kekal bersaing dan sentiasa tampil bersama gimik persembahan cukup menarik seperti piano terbakar dalam AJL, kali terakhir penyanyi Faizal Tahir muncul di pentas keramat itu adalah pada AJL30. Mempertaruhkan karya Assalamualaikum, lagu tersebut ternyata menambat hati juri sekali gus diumumkan sebagai naib juara.

Selepas lebih 17 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni, penyanyi berusia 46 tahun itu mengumumkan mahu berehat bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

Faizal menjelaskan, keputusan tersebut bukan bermakna dia mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan, sebaliknya enggan terlalu aktif.

Bertitik tolak daripada itu, pada AJL34, lagu Ragaman digantikan penyanyi Fairuz Misran, manakala lagu Santai yang bertanding dalam AJL38 kelak bakal dialunkan anggota kumpulan Boboi, Naqiu.

  • Datuk Jamal Abdillah

Impian peminat untuk melihat penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah beraksi di pentas AJL38 tidak kesampaian apabila penyanyi itu mengesahkan pengundurannya daripada pertandingan berprestij tersebut.

Raja Pop itu mendakwa terpaksa menarik diri daripada bertanding di pentas AJL38 menerusi lagu Kucuma, duet bersama penyanyi Wany Hasrita kerana terikat komitmen lain.

Selain terpaksa menarik diri disebabkan komitmen tersebut, pelantun Kekasih Awal Dan Akhir itu juga mempunyai beberapa sebab lain yang dikatakan lebih besar, namun enggan didedahkan kepada umum.

Bagi mengisi kekosongan tersebut, penerbit, FMC Music dan pencipta lagu, Ezra Kong telah bersetuju untuk memberi kepercayaan kepada penyanyi, Afieq Shazwan sebagai pengganti penghibur senior berusia 65 tahun itu pada malam AJL38 nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI