fbpx

WSBK : Adam Norrodin dan SuperKIP pasang impian tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELUMBA negara, Adam Norrodin (kanan) dan Khairul Idham Pawi yang akan bersaing bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda.

KUALA LUMPUR – Pelumba negara, Adam Norrodin yang membuat kemunculan pertama di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bersama pasukan Petronas MIE Racing Honda enggan terburu-buru untuk memperoleh keputusan terbaik sebaliknya mahu memahami karakter jentera CBR1000RR-R tersebut.

Bekas pelumba Moto3 dan Moto2 negara itu mengakui dia tidak mempunyai ‘mileage’ yang banyak bersama jentera 2024 tersebut tetapi tetap positif ingin memberikan persembahan terbaik pada pusingan pertama perlumbaan di Litar Phillip Island, Australia yang membuka tirainya hari ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Honda Petronas MIE Racing kerana memberi saya peluang untuk bersaing di WorldSBK. Tahun ini saya beraksi dengan jentera 1000cc dan merupakan permulaan baharu untuk saya.

“Pastinya ia adalah satu cabaran yang menarik dan saya akan bekerja keras untuk belajar serta mahu mendapatkan keputusan terbaik pusingan demi pusingan. Saya tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri saya sendiri kerana ini adalah musim rookie saya dalam kategori yang sangat tinggi.

JENTERA Honda CBR1000RR-R yang akan digunakan pelumba negara, Adam dalam perlumbaan WSBK musim ini.

“Terdapat banyak perkara yang perlu saya pelajari terutama soal jentera itu sendiri. Apapun pada ujian tempoh hari saya juga berjaya perbaiki catatan masa saya dan ia adalah perkara positif yang saya dapat.

“Walaupun keputusan ujian sebelum agak jauh dengan pelumba lain tetapi saya tetap yakin untuk lakukan terbaik dan fokus pada diri sendiri untuk menghadapi perlumbaan nanti. Apapun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Petronas atas sokongan ini.

“Bagi saya ia adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Petronas terutamanya pada ulang tahun ke-50 Petronas, kami akan melakukan yang terbaik,” katanya yang akan bergandingan bersama Tarran Mackenzie.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi juga mengakui tidak sabar untuk memulakan perlumbaan pertamanya dalam saingan Supersport 600cc.

“Saya tidak sabar untuk memulakan perlumbaan di Phillip Island untuk perlumbaan Supersport pertama musim ini. Ujian kami di sini berjalan lancar dan membolehkan saya mengenali motosikal dan juga pasukan.

JENTERA Honda CBR600RR yang akan dipacu Khairul Idham Pawi pada musim ini

“Walaupun kami masih perlu melakukan banyak perkara tetapi saya dan pasukan akan terus berusaha selangkah demi selangkah untuk menambah baik jentera kami dalam perlumbaan ini,” katanya yang akan bergandingan bersama pelumba Jepun, Kaito Toba. -KOSMO! Online

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI