fbpx
REBEN yang menjadi simbolik kepada watak Hello Kitty diterapkan pada rekaan beg dan kasut.

Comel, ceria dengan tema Hello Kitty

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Watak kartun kucing putih kelahiran Jepun yang bernama Hello Kitty merupakan antara watak kartun paling popular dan paling ikonik di dunia.

Sejak diwujudkan pada tahun 1974, watak fiksyen itu menjadi kegilaan bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa.

Karakter tersebut telah menjalin banyak kerjasama dengan jenama fesyen tempatan dan juga antarabangsa dan baru-baru ini, watak tersebut dijadikan motif menarik pada koleksi terbaharu Anothersole.

Jenama fesyen dari Singapura itu buat pertama kalinya menjalin kerjasama dengan syarikat pengasas watak Hello Kitty, Sanrio dan melancarkan koleksi yang dinamakan ‘Forever Hello Kitty’.

Anothersole yang sinonim dengan rekaan kasut kulit lembut dan beg tangan kain kanvas yang diperbuat daripada bahan kitar semula teruja apabila dapat menyuntik nafas baharu pada produk sedia ada dengan elemen comel yang ada pada karakter Hello Kitty.

Pengasas Anothersole, Benny Chee berkata, kolaborasi tersebut adalah salah satu usahanya untuk menghargai peminat Hello Kitty.

“Koleksi ‘Forever Hello Kitty’ adalah untuk menghargai peminat Hello Kitty yang membesar dengan watak kegemaran ramai tersebut.

“Watak itu sememangnya cukup istimewa di hati mereka dan kami berbesar hati menjadi pemegang lesen untuk Hello Kitty buat julung kalinya.

“Ini merupakan kerjasama pertama jenama fesyen ini dengan Sanrio,” katanya.

Chee menambah, keunikan rekaan daripada hasil kerjasama itu adalah kesemua produk yang dihasilkan masih mengekalkan ciri klasik dan selesa yang ada pada produknya, namun diberi sentuhan comel daripada watak Hello Kitty.

Motif reben ikonik pada watak Hello Kitty diletakkan pada koleksi beg kanvas ANEW yang menjadi antara produk paling popular daripada Anothersole.

Motif sama turut diletakkan pada koleksi lain seperti kasut flat Anytime dan kasut sukan 247 yang didatangkan dalam beberapa rona.

Warna-warna seperti krim, merah jambu pastel, hitam dan juga merah mendominasi koleksi Forever Hello Kitty ini memandangkan rona tersebut cukup sinonim dengan karakter kucing tanpa mulut itu.

Bagi cetakan motif pula, kasut flat Anytime merupakan antara yang paling disukai ramai memandangkan ia menampilkan ilustrasi Hello Kitty dalam posisi sedang mengintip.

Cetakan comel sedemikan menjadikan koleksi baharu tersebut sesuai bagi pengumpul barangan bertemakan Hello Kitty.

“Ia sesuai buat orang dewasa yang mahukan sesuatu yang selesa, namun dalam masa yang sama tampak comel dan ‘youthful’ dengan suntikan Hello Kitty,” katanya.

Selain Anothersole, produk bertemakan Hello Kitty juga terdapat pada koleksi jenama Malaysia, Christy Ng.

Menurut laman web christyng.com, koleksi dinamakan Christy Ng x Hello Kitty itu merupakan koleksi edisi terhad bagi golongan dewasa berjiwa muda.

Kolaborasi eksklusif dengan Hello Kitty itu didatangkan dalam reka-reka corak kreatif yang ceria pada beg-beg tote comel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN