fbpx
Orang ramai beridah dan mandi-manda di Taman Rimba, Teluk Bahang disebabkan cuaca panas.

Teluk Bahang diserbu, ramai sejukkan badan mandi sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TELUK BAHANG – Cuaca panas tahap satu yang mencatatkan suhu maksimum harian 35 sehingga 37 darjah Celsius pada minggu ini menyebabkan kawasan perkelahan di Taman Rimba Teluk Bahang di sini, diserbu orang ramai.

Tinjauan Kosmo! mendapati kawasan perkelahan itu menjadi tumpuan pengunjung pelbagai kaum untuk beriadah sambil menyejukkan badan.

Kawasan perkelahan Taman Rimba Teluk Bahang itu dibuka setiap hari dan tiada sebarang caj dikenakan kepada pengunjung memandangkan ia adalah salah satu taman awam di negeri ini.

Seorang pengunjung, Halim Said, 41, berkata, dia membawa keluarga untuk berkelah pada hujung minggu ini memandangkan cuaca terlalu panas.

“Kawasan Taman Rimba ini agak sejuk dan redup kerana dipenuhi pokok-pokok yang rimbun, jadi ia sesuai untuk keluarga saya berehat sambil mandi-manda.

“Selain itu, tempat ini juga bersih dan kolam-kolamnya juga dijaga rapi, jadi saya tidak perlu bimbang dengan kebersihan di sini,” katanya di sini, semalam.

Menurut Halim, walaupun agak sesak dengan pengunjung, ruang di taman itu yang luas memberikan keselesaan kepada orang ramai.

“Masuk ke taman ini juga percuma, malah ada gerai-gerai menjual makanan kepada pengunjung jadi taman ini adalah satu lokasi percutian yang ideal buat keluarga saya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pe­ngunjung, Amisha Ariffin, 20, berkata, dia dan rakan-rakan yang be­kerja kilang mengambil peluang untuk beriadah sambil menyejukkan badan ketika cuti hujung minggu ini.

“Kalau duduk di rumah cuaca memang panas, jadi kami sepakat untuk berkelah di sini.

“Cuaca di sini agak sejuk dan lokasinya juga selesa kerana ada kemudahan awam seperti tandas dan tempat duduk untuk berkelah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN