fbpx
Jai terkejut selepas melihat kelibat langsuir di atas sebatang pokok kelapa sawit di luar rumah pengantin. – Ilustrasi Shah Hasan

Diganggu langsuir ketika pasang pelamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERPENGALAMAN lebih 30 tahun menyiapkan tempahan set pelamin untuk majlis perkahwinan menyebabkan seorang usahawan butik pengantin, Khairul Rizal Ramli, 48, perlu menuju ke pelbagai destinasi bagi memenuhi kehendak pelanggannya.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Jai biasanya akan menjelajah ke kampung, pekan atau bandar serta perkampungan Orang Asli di sekitar Perak bagi memenuhi tuntutan pelanggannya.

Tugasan itu sebenarnya tidak mengira masa kerana ada ketikanya perlu disiapkan pada tengah malam.

Perselisihan faham dengan pelanggan menjadi antara rencam yang dihadapinya, namun terdapat satu pengalaman, di mana dia dan dua pekerjanya disapa hantu langsuir.

“Ceritanya bermula begini, beberapa tahun lalu, saya dan pekerja menerima tempahan seorang pelanggan untuk menyediakan set pelamin di sebuah kampung di Tapah.

“Sebagai seorang anak jati Kampar, Tapah itu sebenarnya berdekatan dengan rumah saya, jadi tiada masalah bagi memenuhi permintaannya.

“Saya menyedari kampung itu agak sunyi dan dikelilingi dengan ladang kelapa sawit, selain jarak rumah yang agak berjauhan antara satu sama lain.

“Lampu jalan pun tidak banyak serta perlu melalui jalan sempit. Jalan kampung tidaklah sebesar mana,” katanya.
Disebabkan sedikit kesilapan komunikasi, Jai perlu menyiapkan set pelamin itu pada waktu malam kejadian.

“Biasalah, semasa cuti sekolah banyak permintaan dan ada pelanggan perlu mengubah tarikh. Jadi, ada set pelamin yang perlu disiapkan pada waktu malam.

“Namun, saya berasa tidak sedap hati untuk pergi ke rumah pelanggan di Tapah itu. Disebabkan sudah berjanji, saya perlu tunaikan.

“Sebaik sahaja siap set pelamin di Kampar, saya bergegas ke butik saya bersama pekerja untuk mengambil barang-barang sebelum ke Tapah,” katanya.

Jai memaklumkan, dia dan dua pekerjanya berbual-bual sepanjang perjalanan di dalam kenderaan Perodua Myvi miliknya.

“Perjalanan mengambil masa kira-kira 30 minit sebelum memasuki simpang menuju ke rumah itu.

“Namun, saya pelik kerana masih berasa tidak sedap hati, seakan-akan bakal berlaku sesuatu yang buruk.

“Perjalanan menuju rumah itu sejauh kira-kira tiga kilometer dan jarak kediaman yang berjauhan antara satu sama lain merupakan pemandangan biasa.

“Tidak lama kemudian, kami pun sampai. Saya memberikan salam selama beberapa kali, namun panggilan itu tidak disahut.

“Saya kemudian menghubungi tuan rumah dan dia mengatakan perlu keluar sebentar bersama ahli keluarga yang lain untuk membeli barang kenduri kahwin.

“Dia meninggalkan kunci di dalam pasu bunga.

“Saya pun tidaklah berasa curiga kerana wang bayaran telah dilunaskan selain perlu fokus untuk menyiapkan pelamin itu segera,” ujar Jai.
Jai melihat jam di pergelangan tangan kanannya yang menunjukkan pukul 12.30 tengah malam.

“Sudah lewat. Saya memberitahu dua pekerja saya supaya menyiapkan set itu dengan cepat.

“Namun, semasa kami sedang sibuk bekerja, tiba-tiba lampu di kawasan ruang tamu bertukar malap.

“Hembusan angin kencang seakan-akan ‘menampar’ kain langsir di ruang tamu, selain suhu yang tiba-tiba menjadi dingin.

“Ini membuatkan saya dan pekerja berpandangan sesama sendiri.

“Saya dan pekerja mengucapkan istighfar banyak-banyak serta membaca apa sahaja ayat-ayat yang terlintas dalam fikiran sambil meneruskan kerja.

“Namun, angin bertiup semakin kencang dan ada beberapa lampu kalimantang di sudut ruang tamu itu telah terpadam dengan sendirinya.

“Saya dan pekerja semakin takut sebelum kami terdengar suara mengilai selama beberapa saat. Suara itu menyebabkan kami terdiam dan berpelukan sesama sendiri.

“Kami tidak pernah merasai pengalaman seperti itu.

“Perasaan takut, bimbang, khuatir semuanya menjelma serta air titisan peluh mengalir di dahi,” kata Jai.
Jai memberanikan diri untuk melangkah ke luar rumah untuk mengetahui pemilik suara mengilai yang menakutkan itu.

“Saya beranikan diri keluar. Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati kelibat seorang wanita berambut panjang mengurai.

“Wanita itu menoleh dengan rambutnya masih menutupi muka sebelum mengilai.

“Bagai hendak luruh jantung apabila melihat wanita berbaju putih seakan-seakan langsuir itu yang bertenggek di sebatang pokok kelapa sawit dengan wajah menyeramkan.

“Tanpa berfikir panjang, saya dan dua pekerja lain mengambil ‘langkah seribu’ meninggalkan rumah itu.

“Pucat lesi muka saya ketika itu, mujur saya mampu memandu kereta dengan baik dan tidak berlakunya sebarang perkara tidak diingini.
“Sebaik sahaja sampai di rumah, saya terus mandi sebelum menelefon pelanggan menceritakan momen menakutkan yang berlaku.

“Pelanggan itu pun terkejut kerana tidak pernah ada kejadian langsuir berada di rumahnya atau kampung tersebut.

“Bagaimanapun, dia percaya bahawa mungkin ada individu yang cuba membuat sesuatu yang tidak baik atau menguji ilmunya,” katanya.

Namun, Jai berjanji kepada pelanggannya untuk menyiapkan set pelamin itu pada waktu pagi keesokan harinya.

“Syukur, saya berjaya menyiapkan set pelamin untuk pengantin dan mereka pun gembira.

“Namun, itulah momen yang menakutkan sepanjang kehidupan saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN