fbpx

Polis palsu dijel 30 tahun, 10 sebatan culik 3 rakyat Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini hari ini memerintahkan seorang penganggur yang menyamar polis dipenjara 30 tahun dan 10 sebatan atas kesalahan menculik tiga warga Bangladesh bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim menjatuhkan hukuman itu selepas mengetepikan hukuman penjara seumur hidup yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan demikian secara sebulat suara selepas menolak rayuan akhir Suhaimi Alias, 47.

Panel tersebut berpuas hati rayuan penganggur itu tiada merit, manakala sabitan terhadap perayu adalah selamat untuk dikekalkan.

Suhaimi dan dua lagi individu didakwa menculik Md. Gholam Faruque, Mohamed Rafik dan Sojib di sebuah pasar raya di Jalan Meru Klang pukul 4 pagi, 16 Mac 2014 bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika tidak dihukum mati dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu peguam Juwayriyyah Hassan yang hadir bersama Nur Amirah Zulkefli berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan eleman penculikan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 3.

Juwayriyyah berhujah, permintaan wang tebusan juga tidak dibuktikan dalam kes itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dan Noorhisham Mohd. Jaafar berhujah, elemen penculikan dibuktikan apabila mangsa iaitu saksi utama mengecam perayu sebagai individu yang menculiknya.

Hujah pendakwaan, mangsa turut mengecam perayu yang melarikannya dari pasar raya dan mengurungnya dalam bilik hotel sebelum diselamatkan polis.

Ujar Afzainizam, Mahkamah Rayuan juga telah meneliti keterangan bahawa wujud permintaan wang tebusan yang mana RM8,000 telah dibayar oleh anak mangsa.

Pada 13 Julai 2023, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan terhadap lelaki itu. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI