fbpx

Kebakaran Flat Sri Sabah: 16 mangsa ditempatkan di SK Seri Cheras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainal ketika ditemui pemberita di sekitar blok 70 hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 16 mangsa kebakaran di tingkat 17, blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras, di sini, ditempatkan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cheras.

Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Sri Sabah 3B, Zainal Abidin Abd Wahab berkata, kesemua 16 ahli keluarga yang terlibat ditempat di SK Cheras pada pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi.

Katanya, perkara itu diputuskan setelah perbincangan dilakukan pihak persatuan penduduk bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Guru Besar SK Seri Cheras.

“Penghuni mengalami masalah bekalan air susulan tangki air terjejas dalam kebakaran. Alhamdulillah DBKL bekalkan air sementara waktu.

“Saya harap penghuni khususnya mangsa bersabar dengan insiden yang berlaku,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Sementara itu, penghuni tingkat 15 blok terbabit, Malini A/P Subramaniam, 28, berkata, dia dan keluarga bergegas menghulurkan bantuan sejurus menyedari kebakaran berlaku di tingkat 17.

“Kami cuba membuka pili air bomba namun tiada bekalan air dan pemadam api juga tidak berfungsi. Kami bersama jiran tolong jirus air di rumah yang terbakar tapi api tetap marak.

“Ketika itu, kita berlari-lari ambil air, padam api kerana risau keselamatan kanak-kanak,” ujarnya.

Selepas meminta jiran di tingkat 17 untuk bergegas keluar, dia juga mengambil tindakan pantas mencabut kepala tong gas serta menutup bekalan elektrik sebelum mengosongkan rumah mereka.

Mengulas lanjut mengenai proses pembersihan rumah hari ini, katanya, dia baru sahaja memulakan pembersihan rumah mereka sendiri selepas menolong membersihkan rumah jirannya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Penghuni blok ini dibekalkan dua tangki air daripada DBKL susulan mengalami gangguan bekalan air selepas insiden kebakaran semalam.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI