SEREMBAN – Richiamo Mart, cabang perniagaan baharu di bawah rangkaian kedai kopi premium, Richiamo Coffee dijangka membuka cawangan terbaharunya di Bangi Gateway dan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya SPA dekat Cheng, Melaka pada bulan ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhamad Zamry Abu Samah berkata, Richiamo Mart yang berkonsepkan kedai serbaneka itu itu turut menempatkan produk- produk usahawan tempatan selain barangan-barangan lain.
“Idea itu timbul melihat kepada kesukaran PKS memasarkan produk mereka di pasaran luar dimana terikat dengan syarat-syarat ditetapkan, oleh itu dengan adanya Richiamo Mart, kami alu-alukan mereka untuk memenuhi objektif di kedai serbaneka kami yang mesra PKS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian cawangan Richiamo Coffee di Petronas Tiara Sendayan di sini baru-baru ini.
Selain itu, Muhamad Zamry menjelaskan, Richiamo Coffee yang telah ditubuhkan pada tahun 2015 itu telah memiliki 200 cawangan di seluruh negara.
Ketika ini, Richiamo Coffee mempunyai satu cawangan menembusi pasaran antarabangsa iaitu di Siem Reap, Kemboja.
“Tahun ini juga, kami sasar untuk mengembangkan lagi jenama di peringkat global termasuklah di Mekah, Madinah, Indonesia dan juga China,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE
















