fbpx

Lemas sewaktu ambil bot kawalan jauh di tengah sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba mengangkat mayat Ahmad Yusof yang lemas di Sungai Nerus, Kuala Nerus semalam.

KUALA NERUS – Gara-gara cuba mengambil bot kawalan jauh yang rosak di tengah sungai, seorang pemuda maut akibat lemas di Sungai Nerus berhampiran Jeti Nelayan Kampung Bukit Tumbuh di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, mangsa, Ahmad Yusof Din, 24, yang berenang sejauh kira-kira 20 meter dari tebing, lemas sebelum tenggelam ke dasar sungai berkenaan.

Seorang rakan Ahmad Yusof berusia 26 tahun yang cuba menyelamatkan mangsa juga hampir lemas namun sempat disempatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, sebelum kejadian, mangsa dan rakannya dikatakan bermain bot kawalan jauh di kawasan sungai berkenaan.

“Bot kawalan jauh milik mangsa dikatakan mengalami kerosakan menyebabkan mangsa nekad berenang untuk mendapatkannya semula.

“Dia kemudiannya lemas sebelum rakannya cuba membantu tetapi hampir lemas sebelum diselamatkan orang ramai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azmi berkata, seramai 16 anggota termasuk pasukan penyelamat di air (PPDA) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kejadian lemas itu pada pukul 10.55 malam.

Beliau berkata, mayat Ahmad Yusof berjaya ditemui tertiarap di dasar sungai sedalam kira-kira 12 meter pada pukul 12.56 tengah malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI