PASUKAN hoki Maybank sedia melakukan rayuan kepada Lembaga Disiplin Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berhubung kad merah diterima Muhammad Najmi Farizal Jazlan ketika berdepan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 kelmarin.
Pada aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil itu, Najmi didakwa melakukan provokasi terhadap pengadil sehingga diarahkan keluar padang pada penghujung suku masa ketiga, sekali gus menjejaskan aksi Maybank sehingga diikat 3-3.
Ketua jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam berkata, pihaknya akan mengemuka rayuan terhadap kad merah itu kerana menganggap hukuman yang diberikan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.
“Kita bermula dengan sangat baik sehingga suku masa ketiga, tetapi selepas itu tidak dapat mengawal emosi. Kita juga dapat kad (merah) yang mudah dan ia nyata menjadi titik perubahan perlawanan.
“Bila saya tanya umpire, beliau menunjukkan isyarat dia (Najmi) bercakap atau maki pengadil. Bagi saya, ia (hukuman) terlalu keras dan Maybank akan membuat rayuan untuk kad merah tersebut,” katanya.
Beliau juga percaya sekiranya Najmi tidak dilayangkan kad merah, Maybank akan membawa pulang tiga mata kerana mereka sedang mendahului perlawanan 3-2 sebelum kaptennya diarahkan meninggalkan padang.
“Walaupun bermain 10 orang, pemain-pemain sangat rajin dan sentiasa mengejar bola selain memberikan segala-galanya dalam padang. Jika tidak ada kad merah Najmi, saya yakin tiga mata untuk Maybank.
“Apa yang berlaku berhubung kad merah itu, ia hanya antara Najmi dan pengadil. Kalau setakat bercakap dan maki, bagi saya ia tidak sepatutnya kad merah. Setahu saya, kad merah akan digantung dua perlawanan,” ujar Azrul.
Menjelang aksi kedua MHL 2024 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 7 Februari ini, Maybank masih memiliki banyak masa untuk berehat serta melakukan analisis.














