fbpx

Telco disaran ambil tindakan segera masalah perkhidmatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FAHMI Fadzil (tengah) diberi penerangan ketika melawat PEDi Felda Bukit Goh di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) disaran untuk mengambil tindakan segera jika terdapat sebarang aduan oleh pengguna rangkaian mudah alih di negara ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, sebarang aduan perlu dilaporkan kepada kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk penambahbaikan.

Menurutnya, perkara tersebut merupakan usaha kerajaaan bagi membantu menyelesaikan masalah liputan 5G yang masih kurang memuaskan di beberapa kawasan.

“Perbincangan lanjut akan diadakan dengan SKMM dan pihak Digital Nasional Bhd (DNB) untuk kita teliti apa yang boleh dilakukan dalam melakukan sebarang penambahbaikan.

“Ia akan dilakukan pada kadar segera bagi membolehkan lebih banyak menara yang dapat menyediakan perkhidmatan 5G,” katanya dalam sidang akhbar selepas Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Goh, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, sebanyak lapan juta daripada 44 juta pengguna akaun merupakan pelanggan perkhidmatan 5G di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu dijangka bertambah selepas semua syarikat pengendali telekomunikasi tidak lagi mengenakan caj tambahan kepada perkhidmatan terbabit.

“Ini bermaksud peningkatan lebih kurang 22 hingga 23 peratus sekali gus peningkatan yang baik dan sihat tetapi kita mesti lakukan sesuatu juga untuk tingkatkan penggunaan 5G,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, di Pahang lebih 65 peratus kawasan sudah mendapat liputan 5G sekaligus banyak lokasi sudah mendapat permintaan bagi liputan tersebut.

“Jadi bagi kawasan yang masih mendapat liputan rendah kita akan terus bekerjasama dengan pihak telco untuk menangani masalah tersebut,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI