fbpx

MAG tambah 12 buah pesawat baharu termasuk A330neo tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat A330neo MAG, yang dijadualkan tiba pada suku tahun ketiga 2024.

PETALING JAYA – Malaysia Aviation Group (MAG) bakal memperkenalkan 12 pesawat baharu tahun ini, termasuk Airbus 330-900 (A330neo) pertama Kumpulan yang dijadualkan tiba pada suku tahun ketiga 2024.

MAG dijadualkan menerima empat pesawat jenis baharu itu tahun ini, bersama lapan pesawat Boeing 737-8 untuk menyokong keperluan pertumbuhan rangkaiannya.

Pada Ogos 2022, MAG menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Airbus, Rolls-Royce dan Avolon untuk pemerolehan 20 pesawat A330­neo yang dijadualkan dihantar sehingga 2028.

A330neo bakal menyediakan kecekapan operasi yang lebih baik kepada armada MAG, sambil membolehkannya menangani sasaran alam sekitar dengan pengurangan penggunaan bahan api dan pelepasan sehingga 25 peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Izham Ismail berkata, pihaknya teruja untuk memperkenalkan pesawat A330neo pertama Kumpulan tahun ini, yang akan menggantikan armada A330ceo secara beransur-ansur untuk operasi di seluruh Asia, Oceania dan Asia Barat.

“Peluasan ini bukan sahaja untuk meningkatkan jumlah inventori kami, malah memper­kenalkan kelas kabin pertama seumpamanya, tempat duduk baharu dan pengalaman yang mengutamakan keselamatan, keselesaan serta kepuasan pe­langgan secara keseluruhan.

“Kami akan terus menyalurkan pelaburan kami ke dalam usaha yang sejajar secara strategik dengan tiang utama yang memacu cadangan nilai pelanggan kami iaitu keselesaan kabin, makanan dalam penerbangan dan penyampaian perkhidmatan kru kabin.

“MAG bercita-cita untuk mengatur pengalaman penum­pang yang bukan sahaja meme­nuhi piawaian premium malah lebih daripada itu, disokong oleh Hospitaliti Malaysia yang tiada tandingan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Untuk mengukuhkan lagi prog­ram pemodenan armada­nya, MAG akan memasang semula enam daripada pesawat A350-900nya bermula 2026 untuk memastikan kabin yang konsisten dan penyeragaman pengalaman premium untuk penumpang, selaras dengan kabin A330neo baharu.

MAG kini memiliki saiz armada berjumlah 104 melalui anak syarikatnya Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan MASkargo. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI