fbpx

Puteri Sarah jumpa peguam, bakal ambil tindakan saman fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Puteri Sarah Liyana berjumpa dengan peguam, Azmi Mohd. Rais untuk berbincang mengenai tuntutan saman fitnah terhadap seorang wanita, hari ini.

PETALING JAYA – Pelakon Puteri Sarah Liyana memberi bayangan bakal mengambil tindakan undang-undang berupa saman fitnah terhadap seseorang selepas membuat pertemuan dengan peguam, Azmi Mohd, Rais, hari ini.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik Sarah dalam Instagram miliknya, Sarah atau nama lengkapnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin memaklumkan bakal mengambil tindakan undang-undang atas dakwaan memfitnah, menyebarkan fitnah dan menuduh tanpa bukti terhadap seseorang.

“Memfitnah, menyebarkan fitnah dan menuduh tanpa bukti. Lain kali nak menghina dan memfitnah, pastikan beserta bukti, bukan jadi ‘tin kosong’.

“Jumpa nanti di mahkamah,” tulisnya.

Dalam hantaran tersebut, Sarah turut berkongsi fotonya semasa membuat pertemuan dan perbincangan dengan Azmi di pejabatnya, hari ini.

Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan penjelasan terperinci berhubung tuntutan yang dibuat Sarah bagaimanapun tidak berjaya apabila pelakon itu dan juga peguamnya tidak menjawab panggilan telefon.

Bagaimanapun, berdasarkan komen yang ditinggalkan pengikutnya dalam Instagram, Sarah, 39, dikatakan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang wanita yang juga bergelar pegawai pemasaran apabila menuduhnya menipu dalam urusan perniagaan membabitkan mereka berdua.

Malah, menerusi temu bual secara eksklusif bersama Melodi semalam, wanita berkenaan mendakwa dirinya telah ditipu seorang pelakon terkenal.

Wanita tersebut mendakwa, pelakon itu telah memutar belit cerita dan mengeluarkan kenyataan yang tidak benar dalam laman sosial.

Malah, dia juga memberitahu sudah berusaha untuk berjumpa dengan pelakon terbabit bagi tujuan berbincang dan menyelesaikan masalah antara mereka, namun gagal.

Meskipun tidak menyebut nama mana-mana pihak, namun rata-rata netizen mendakwa aktres yang dimaksudkan ialah Puteri Sarah.

Kosmo! Online pada 4 Januari lalu melaporkan, ibu kepada dua orang cahaya mata itu mendedahkan dirinya diperdaya seorang pegawai pemasaran yang mengambil wang berjumlah RM26,000 tanpa persetujuannya sebagai caj 45 peratus daripada keuntungan perniagaan.

Menurut Sarah, dia mengupah individu tersebut sejak Oktober tahun lalu bagi memasarkan produknya namun kerja yang dilakukan tidak mencapai standard ditetapkan.

“Saya tak berapa nampak apa yang dia buat sebenarnya. Kemudian dia caj saya sebanyak 45 peratus daripada keuntungan untuk pemasaran.

“Dia juga ada pegang wang tunai dalam satu acara lain sebelum terus ambil RM26,000 tanpa masuk ke dalam akaun terlebih dahulu.

“Kerja satu apa pun tak buat, tiba-tiba dia kata duit tersebut adalah duit untuk gajinya,” katanya menerusi video siaran langsung yang dimuat naik semula dalam TikTok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI