fbpx

Nilai sitaan, beku akaun Geng Upik cecah RM9.72 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM9.72 juta aset terdiri daripada hartanah, kenderaan mewah, barangan kemas, dan wang tunai dibekukan dan disita susulan tumpasnya sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah yang baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat 42 pembekuan akaun bernilai RM1.86 juta bagi tempoh 27 Disember tahun lalu hingga 19 Januari lalu.

“Antara pembekuan harta dan penyitaan ialah 10 jentera, 11 hartanah, 20 kenderaan, wang tunai RM35,041 dan barang kemas (RM100,000).

“Kita (polis) turut membekukan 10 jentera dan 11 bidang tanah dengan keseluruhan bernilai RM2.81 juta.

“Selain itu, sebanyak 20 kenderaan dianggarkan bernilai RM6.77 juta, wang tunai RM35,041 dan barang kemas bernilai RM100,000 disita PDRM membabitkan keseluruhan sitaan berjumlah RM6.91 juta,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas mengenai 11 individu termasuk seorang bergelar Datuk didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Upik di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, semalam, Ayob memaklumkan terdapat dua anggota polis turut didakwa pada kes itu.

“Dua daripada mereka ialah polis berpangkat Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta anggota berpangkat Sarjan yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA),” katanya.

25 Disember lalu, polis menahan ahli perniagaan bergelar datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah menerusi siri serbuan yang dilakukan polis Bukit Aman.

Lelaki itu turut menaungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haram sejak 2015.

Sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI