fbpx

Gempa bumi kuat gegar sempadan China-Kyrgyzstan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gempa berlaku pada kedalaman 13 kilometer di wilayah Xinjiang, kira-kira 140 kilometer di barat bandar Aksu. – USGS

BEIJING – Satu gempa bumi kuat berkekuatan 7.0 magnitud menggegarkan kawasan pergunungan di sepanjang sempadan China-Kyrgyzstan hari ini, sekali gus mencetuskan amaran kemusnahan meluas meskipun tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Pihak berkuasa tempatan mengerahkan pasukan penyelamat di pusat gempa, lapor agensi berita Xinhua sambil menambah, kira-kira 800 petugas diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk misi bantuan besar-besaran.

Gempa tersebut berlaku sejurus pukul 2 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 13 kilometer di wilayah Xinjiang. Ia terletak kira-kira 140 kilometer di barat bandar Aksu.

Dua kediaman dan bangsal ternakan runtuh di kawasan berhampiran pusat gempa, di luar bandar daerah Wushi, lapor Xinhua, manakala bekalan elektrik terputus buat sementara waktu.

Seorang penduduk Aksu memberitahu Xinhua bahawa orang ramai bergegas keluar untuk menyelamatkan diri ketika gegaran di tengah-tengah suhu awal pagi yang sejuk iaitu sekitar -10 darjah Celsius.

Ketua Kementerian Situasi Kecemasan Kyrgyzstan, Bohobek Azhikeev berkata, tiada kematian atau kerosakan dilaporkan di bandar ibu kota, Bishkek.

Dalam pada itu, beberapa media India melaporkan gegaran turut dirasai di bandar ibu negaranya, New Delhi, yang terletak kira-kira 1,400 kilometer dari pusat gempa. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI