fbpx

Bot pukat tunda, 22 nelayan warga asing ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada nelayan warga asing yang ditahan di atas sebuah bot pukat tunda di Pulau Jarak, Lumut kelmarin. - Foto APMM

LUMUT – Sebuah bot pukat jerut yang melakukan pelbagai kesalahan ditahan bersama 22 nelayan warga asing oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak di kedudukan 0.98 batu nautika Tenggara Pulau Jarak di sini kira-kira pukul 10.40 pagi kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd. Hambali Ya’akup berkata, bot terbabit dikesan sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh KM Tugau ketika ia sedang melakukan rondaan rutin menerusi Op Sayong, Op Tanjung dan Op Tiris di perairan Perak.

“Pemeriksaan mendapati, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga Thailand bersama empat kru warga Thailand dan 17 kru warga Kemboja berumur dalam lingkungan 24 hingga 57 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati, tekong gagal mengemukakan dokumen kelulusan penggunaan peralatan komunikasi serta beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari daratan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Hambali berkata, pemeriksaan lanjut turut menemui anggaran lebih kurang 60 liter cecair disyaki air ketum serta kira-kira 200 kilogram ikan campur di atas bot berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tidak mempunyai kelulusan penggunaaan radar dan peranti serta Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang daripada 15 batu nautika.

“Ia juga disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” ujar beliau.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

“Kesemua nelayan ditahan, manakala bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan berserta cecair disyaki air ketum dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.

“APMM menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.

“Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi APMM di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-6838737) atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI