fbpx
Gambar hiasan.

Amal konsep simpan dulu belanja kemudian – Pakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAPORAN dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) tahun lalu menyatakan bahawa 75 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya berjumlah RM1,000.

Kos sara hidup yang semakin lama semakin tinggi dengan gaji yang tidak naik-naik pula menjadikan ramai yang mengakui semakin sukar untuk survive, apatah lagi sekiranya diuji dengan kehilangan pendapatan.

Ada yang mengeluh, nilai gaji yang diterima pula hanya cukup-cukup makan menyebabkan mereka sukar untuk membina tabungan.

Hakikatnya, tabungan walaupun kecil merupakan sesuatu yang amat penting kerana wang tersebut akan digunakan sekiranya berlaku ujian hidup seperti kehilangan punca pendapatan.

Tiada tabungan menunjukkan bahawa tahap literasi kewangan rakyat Malaysia masih rendah dan mereka lebih suka berbelanja daripada menyimpan duit.

Pakar Kewangan, Azizi Ali berkata, untuk membina tabungan, ia bukanlah menuntut seseorang menyimpan dalam jumlah yang besar sebaliknya cukup menyimpan wang secara konsisten dan dalam jumlah yang realistik.

“Tidak kiralah berapa pun nilai gaji diterima, seseorang perlu sentiasa menyediakan sejumlah wang tabungan yang boleh digunakan untuk tujuan kecemasan.

“Angka daripada laporan BNM itu merupakan sesuatu yang mengejutkan dan juga amat membimbangkan.

“Saya berpendapat bahawa dua sebab mengapa perkara itu berlaku iaitu kurangnya ilmu pengetahuan tentang kewangan dan juga kurang tindakan,” katanya.

Tambah Azizi, ilmu kewangan merupakan sesuatu yang amat penting dan sesiapa sahaja perlu melengkapkan diri seawal mungkin dengan pengetahuan berkenaan pengurusan wang peribadi.

Jelasnya, sebelum mula membina tabungan, perkara pertama yang perlu dibuat adalah menambah ilmu pengetahuan tentang kewangan.

“Mulakan dengan membaca buku-buku tentang pengurusan kewangan peribadi. Ilmu kewangan cukup kritikal kerana ia akan mengajar kita langkah-langkah yang perlu diambil untuk membina kehidupan yang lebih baik,” kongsinya.

Azizi turut menekankan konsep ‘simpan dahulu, belanja kemudian’ dan wang gaji yang diterima setiap bulan seharusnya diketepikan dahulu untuk disimpan dan bakinya itulah yang kemudiannya digunakan untuk dibelanjakan.

“Angka yang disarankan adalah sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji digunakan sebagai simpanan. Ini adalah perkara pertama yang perlu dibuat sebaik sahaja mendapat wang gaji.

“Biarpun sudah membina tabungan, saya ingin menasihati orang ramai supaya terus tambahkan ilmu dan kepakaran berkenaan kewangan dan tambahkan tindakan, kerana lebih cepat anda bijak kewangan, maka lebih cepat anda boleh membina kekayaan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN