fbpx

‘Kawan perangkap abang, jadi tebusan RM140,000 di Myanmar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daniel (dua kanan) bersama Wei Mun (kanan) yang merupakan adik kepada mangsa penipuan pekerjaan pada sidang akhbar di Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – “Kawan ajak abang kerja di Hong Kong dengan gaji RM18,000 untuk empat hari, rupa-rupanya abang diseludup ke Myanmar melalui jalan sungai”.

Demikian pendedahan adik mangsa, Choo Wei Mun, 26, berhubung nasib malang yang menimpa abangnya selepas diperdaya menjadi tebusan mangsa sindiket pemerdagangan manusia di KK Garden, Myanmar.

Menurutnya, mangsa turut diugut sindiket terbabit dengan meminta wang tebusan sebanyak RM140,000 jika ingin pulang ke Malaysia.

Menceritakan semula bagaimana kejadian itu bermula, Wei Mun memberitahu bahawa abangnya yang merupakan ejen hartanah ditawarkan untuk membuka akaun di Hong Kong.

“Kami sekeluarga langsung tidak mengetahui mengenai tawaran pekerjaan terbabit. Abang hanya beritahu dia akan ke Johor untuk bekerja pada 13 Disember tahu lalu. Kemudian, teman wanitanya memaklumkan dia dibawa ke Bangkok, Thailand dan berada dalam keadaan bahaya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Selepas beberapa hari, Wei Mun berkata, dia berjaya mendapatkan maklumat dan lokasi keberadaan abangnya daripada kumpulan WhatsApp yang diakses menerusi tablet di rumah.

“Selepas tiada khabar berita daripada abang, saya jumpa ‘tablet’ miliknya di rumah dan boleh akses WhatsApp abang. Dari situ, saya dapat tahu abang dibawa ke Myanmar melalui jalan sungai.

“Dia juga ada meminta bantuan daripada kenalan di tempat kerja untuk meminjam wang sebanyak RM140,000 untuk pulang ke Malaysia,” ujarnya.

Justeru, Wei Mun berharap, abangnya kini berada dalam keadaan selamat selain dapat dibawa pulang sebelum Tahun Baru Cina bulan depan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, pihaknya kini cuba berusaha untuk mengesan mangsa dengan kerjasama daripada pihak kerajaan dan kedutaan.

“Kami akan berbincang dengan pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar untuk mencari penyelesaian terbaik dan paling selamat untuk membawanya kembali,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI