fbpx
Gambar hiasan

Padi benih mahal sangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Kebanyakan pesawah di negeri ini didakwa gagal menuai padi mengikut jadual ditetapkan ekoran mengalami pelbagai masalah termasuk berlaku lonjakan harga benih yang dikatakan dijual melebihi paras ditetapkan.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, situasi yang didakwa berlaku sejak empat bulan lalu itu me­ngakibatkan pesawah terpaksa mencari kerja lain untuk me­nyara hidup.

Katanya, hasil padi sepatutnya sudah boleh dituai menjelang akhir bulan ini.

“Banyak kawasan penanaman padi termasuk di empat wilayah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda yang tidak diusahakan.

“Antara punca adalah kerana pesawah sudah terlepas jadual masa penanaman padi disebabkan mereka menunggu untuk mendapatkan harga benih padi yang disyorkan iaitu RM45,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Abdul Rashid, ada pesawah yang kecewa apabila harga belian padi tidak konsisten selain pengilang-pengilang tidak menjual padi benih seperti harga yang disyorkan.

Beliau difahamkan harga padi benih yang dijual kepada wakil penjual adalah lebih tinggi berbanding yang disyorkan menyebabkan wakil-wakil penjual itu juga terpaksa menjual pada harga lebih mahal kepada pesawah.

Tambahnya, situasi itu menyebabkan pesawah hilang sumber pendapatan pada musim ini selain terpaksa mencari alternatif lain bagi menjana pendapatan.

“Ada dalam kalangan pesawah terpaksa membuat pinjaman kewangan daripada agensi-agensi tertentu selain mencari pekerjaan alternatif lain untuk me­nyara kehidupan mereka,” katanya.

Ujar Abdul Rashid, pihak kerajaan seharusnya mengambil tindakan yang lebih agresif dalam usaha menamatkan kemelut membabitkan penanaman padi ini.

“Isu harga padi benih yang mahal dan isu harga belian padi yang tidak konsisten merupakan isu penting yang perlu diberi perhatian kerana ianya mendatangkan masalah dan kerugian kepada pesawah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN