ISU membabitkan pelakon Fatiya Latiff baru-baru ini mencetuskan 1,001 persoalan dalam kalangan pengguna media sosial.
Tiada angin, tiada ribut, nama Fatiya meledak selepas mengeluarkan kenyataan dan kerap melakukan perkara di luar normalisasi manusia biasa.
Perubahan sifat dan sikap dipaparkan dilihat kurang normal itu membuatkan ramai mula mendakwa Fatiya menghidapi penyakit mental yang kritikal.
Semuanya tercetus apabila dia mula mengeluarkan pelbagai kenyataan berbaur provokasi terhadap aktres, Zahirah MacWilson dengan menggelarnya sebagai pembantu rumah atau bibik serta membuat tuduhan pelakon itu melakukan pembedahan plastik pada bahagian bibir.
Tidak terhenti di situ, Fatiya seterusnya melakukan ‘serangan’ pada bekas kekasihnya yang juga suami Zahirah iaitu Aiman Hakim Ridza.
Kali ini, perkara dilakukannya melampaui batas apabila memuat naik foto mereka bersama keratan akhbar temu bual Aiman beberapa tahun lalu.
Hakikatnya, perubahan sikap itu tercetus akibat soalan berbaur provokasi netizen mengenai kisah silam dan membandingkan dirinya dengan Zahirah.
Tidak kurang juga ada yang mula ‘tunjuk pandai’ dengan melabel Fatiya sebagai pesakit kecelaruan bipolar disebabkan sikap aneh dipaparkannya dalam media sosial.
Rentetan itu, ramai berpendapat Fatiya tidak boleh terus ‘diserang’ dengan komen negatif kerana dikhuatiri akan membuatkannya melakukan lebih banyak perkara ‘kurang siuman’.
Mengulas hal tersebut, Pengarah Bahagian Pembangunan Psikologi, Jabatan Pembangunan Wanita, Dr. Raja Kamariah Raja Mohd. Khalid berkata, perubahan emosi dan sikap secara ekstrem merupakan petanda kepada gangguan mental.
“Kecelaruan bipolar adalah salah satu bentuk gangguan mental dan boleh dikenal pasti menerusi perubahan emosi yang ekstrem sama ada disebabkan mania atau depresi.
“Apabila dalam keadaan depresi, mereka lebih kepada berasa sedih dan tidak bertenaga tetapi individu yang melalui mania pula akan mudah berubah apabila mengalami rangsangan tertentu.
“Tenaga mereka tinggi dan mampu bertindak balas mengikut kata hati serta berasa terlalu yakin sehingga memberi kesan negatif terhadap individu lain,” katanya.
Berkongsi lanjut, mania merupakan kebahagian melampau atau dipanggil euforia dan perkara itu sangat mudah dikenal pasti pada individu yang mengalami kecelaruan bipolar.
“Mungkin seseorang itu pernah merasai episod bahagia dan ketika melalui fasa mania, dia mula mengimbau detik bahagia sehingga terlupa individu yang terlibat dalam memori tersebut sudah ‘move on’.
“Mania adalah satu perkara diluar batas normal. Jadi kita dapat membezakan individu mengalami bipolar, rasa gembira dan sedih yang mereka alami sangat ekstrem,” jelasnya.
Katanya, mania boleh berlarutan selama seminggu atau lebih, manakala depresi boleh berlaku beberapa bulan.
Raja Kamariah menegaskan, masyarakat jangan mudah melabel seseorang sebagai pesakit bipolar atau penyakit mental lain kerana pengesahan perlu dilakukan pakar perubatan melalui diagnosis terlebih dahulu.
“Jangan cetuskan sebarang provokasi atau melakukan serangan emosi bertalu-talu kepada mana-mana individu yang normal atau pun tidak.
“Berhenti melemparkan kebencian dan komen negatif terhadap mereka,” katanya.
















