fbpx

Ee Yi-Yew Sin makin sukar ke Olimpik Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EE YI (kiri) tersilap membuat permohonan visa menggunakan pasport lama menyebabkan dia terpaksa melupakan aksi Terbuka India apabila tidak dibenar memasuki negara itu.

KUALA LUMPUR – Laluan beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024 makin berliku apabila terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi.

Keadaan itu disebabkan Ee Yi gagal mendapatkan visa kemasukan yang sah sehingga menyebabkan dia terpaksa kembali ke Malaysia, sekali gus mengganggu perancangan mereka untuk mengutip mata kelayakan.

Bagaimanapun, Ee Yi menjelaskan, situasi itu adalah disebabkan kesilapan sendiri kerana membuat permohonan visa menggunakan pasport lama sehingga dihalang daripada memasuki India.

“Salah saya sendiri. Saya salah memohon E-Visa menggunakan pasport lama, jadi sekarang tidak boleh masuk India dan cuba buat pasport kecemasan. Jika tidak, terpaksa tarik diri daripada Terbuka India,” katanya menerusi perkongsian awal di Instastory.

Usahanya untuk mendapatkan pasport kecemasan bagaimanapun menemui jalan buntu, sekali gus menyaksikan Ee Yi terpaksa pulang ke tanah air dan tidak akan beraksi pada Jelajah Dunia Super 750 itu.

“Pertama sekali, terima kasih banyak-banyak kepada Kedutaan Malaysia kerana membantu serta semua orang yang membantu dan bimbang tentang saya. Malangnya, tidak ada yang boleh kami lakukan.

“Mereka memutuskan untuk menghantar saya pulang dan sudah berada dalam penerbangan. Maaf semua, itu adalah kesilapan saya dan akhirnya terpaksa menarik diri daripada terbuka India,” ujar Ee Yi menerusi Instastory yang dikemas kini.

Keadaan itu pasti memberi impak kepada Ee Yi-Yew Sin memandangkan kedudukan mereka masih belum selamat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 apabila berada di tangga ke-11 ranking kelayakan.

Ketika ini, hanya Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada pada landasan terbaik untuk layak apabila menghuni ranking keempat kelayakan dan Ee Yi-Yew Sin perlu berada dalam kelompok lapan terbaik bagi membolehkan Malaysia menghantar dua beregu ke Sukan Olimpik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI