fbpx

Tan Sri Azman Hashim dilantik Canselor pertama UCMI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azman ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP Kali Ke-14 yang berlangsung hari ini di Dewan Merdeka, WTCKL, hari ini.

PETALING JAYA – Tokoh perbankan, Tan Sri Azman Hashim telah dimasyhurkan sebagai Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) yang pertama.

Majlis Pemasyhuran ini telah disempurnakan oleh Tan Sri Mohd Daud Bakar selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ia diadakan bersempena Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP Kali Ke-14 yang berlangsung hari ini, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pada majlis itu juga, turut dimasyhurkan adalah Profesor Emerita Datuk Dr. Asma Ismail sebagai Pro-Canselor.

Menerusi satu kenyataan UCMI berkata, Pemasyhuran Canselor dan Pro-Canselor UCMI ini dilakukan setelah pelantikan ini diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jelas UCMI, pelantikan Tan Sri Azman Hashim sebagai Canselor UCMI dilihat satu pilihan yang tepat berdasarkan pencapaian dan sumbangan besar beliau kepada negara.

“Kejayaan beliau dalam membangunkan Ambank telah mengangkat namanya sebagai pengasas yang berjaya dan berpengaruh dalam industri kewangan tempatan.

“Beliau tidak hanya berjaya dalam bidang perbankan tetapi juga dalam pembangunan ekonomi Malaysia menjadikan beliau tokoh yang amat disegani di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pemilihan Pro Canselor pula, UCMI berkata, Asma bukanlah nama yang asing dalam dunia pendidikan.

“Sumbangan beliau kepada sistem pendidikan tinggi dan ekosistem pembangunan sains telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Beliau telah berjaya dalam penemuan saintifik yang membawa kepada penghasilan 16 paten yang dikomersialkan di seluruh dunia serta menghasilkan ujian diagnostik pantas demam tifoid dipanggil Typhidot, yang turut disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Pelantikan kedua-dua tokoh ini mampu menjadi pemangkin kepada usaha UCMI untuk mencapai taraf universitI penuh menjelang 2025 nanti,” ujarnya.

Sementara itu, pada Majlis Konvokesyen UCMI Kali ke-14 yang bertemakan “Umpama Mutiara Yang Bergemerlapan Di Seantero Dunia”, seramai 1029 graduan yang layak bergraduat telah menerima Ijazah Sarjana Muda, Diploma dan Sijil merangkumi pelbagai bidang masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI