fbpx

Waris Fiza Kamarudin dapat pencen penakat RM1,975 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammed Azman ketika melawat keluarga Arwah Fiza Kamaruddin di kediaman mereka hari ini.

PETALING JAYA – Ahli keluarga wartawan hiburan, arwah Siti Nor Hafizah Kamarudin atau Fiza Kamarudin layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, semakan rekod caruman ibu kepada dua cahaya mata itu mendapati dia berkhidmat di tujuh buah syarikat sejak Disember 2002.

Sehubungan itu katanya, suami arwah, Roshdi Ramli layak mendapat faedah Perkeso untuk sepanjang hayat.

“Dua anaknya berusia lapan dan 10 tahun diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan jika menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

“Berdasarkan rekod caruman Perkeso Siti Nor Hafiza, keluarganya layak menerima bayaran berkala Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,975.00 setiap bulan dan FPM RM2,000 secara sekali bayar menerusi Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan Fiza meninggal dunia di Hospital Charing Cross di London, United Kingdom pada 28 Disember lalu akibat penyakit barah.

Arwah yang merupakan wartawan portal hiburan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow sewaktu menunggu penerbangan untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember lalu.

Ketika mula memasuki dunia kewartawanan, Fiza pernah berkhidmat sebagai wartawan kadet di Kosmo! sebelum bertukar ke agensi media lain termasuk RTM dan Astro.

Arwah merupakan bekas pesakit kanser payudara namun sel barah kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas.

Lebih memilukan, percutian yang dirancang ke London itu merupakan hajat terakhir arwah bagi menunaikan janji bersama mereka iaitu Riyadh Haziq, 10, dan Raisya Hannah, 8. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI