fbpx

Aaron mahu balas pengorbanan peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON (kiri) dan Wooi Yik mara ke pentas separuh akhir Terbuka India

BAGI memberi kepuasan kepada para peminat tanah air pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil yang bermula esok, beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memasang hasrat untuk mara ke perlawanan akhir.

Sasaran tersebut dianggap untuk menebus kekecewaan musim lalu apabila mereka sekadar menamatkan aksi Jelajah Dunia Super 1000 itu seawal pusingan kedua selepas tewas kepada ­beregu China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Aaron berkata, dia sangat teruja untuk menghadapi Terbuka Malaysia kali ini kerana sudah lama tidak beraksi di laman sendiri selain merindukan sokongan padu daripada peminat-peminat tanah air.

“Kalau nak cakap mengenai tekanan, bagi saya itu memang tiada kerana saya sangat teruja memandangkan sudah lama tidak bermain di Malaysia. Tambahan pula, ini merupakan kejohanan sulung bagi 2024.

“Memang kami berharap untuk tampilkan aksi lebih baik berbanding edisi musim lalu. Sudah tentu saya mahu berjumpa dengan penyokong sehingga ke perlawanan akhir,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Menjelang Terbuka Malaysia nanti, Aaron-Wooi Yik yang me­rupakan bekas juara dunia bakal membuat perhitungan dengan beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Soegaard di pusingan pertama.

Dalam pada itu, dia juga meletakkan sasaran untuk memenangi lebih banyak kejohanan pada musim ini sebagai per­se­dia­an serta sumber keyakinan bagi menghadapi Sukan ­Olimpik Paris 2024 pada Julai depan.

“Sekiranya dapat merangkul lebih banyak kejohanan adalah sangat baik kerana tahun ini agak sukar sebab ada Sukan Olimpik. Kalau dapat lebih banyak gelaran memang baik untuk keyakinan diri,” ujar Aaron.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI