fbpx

Penerbangan ihsan bawa pesara polis diserang sakit jantung ke IJN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kok Chin (memakai jaket) melihat keadaan seorang pesara polis yang akan dibawa ke IJN dengan helikopter polis di padang SMK Permatang Rawa, hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang pesara polis hari ini diterbangkan secara ihsan dengan menggunakan helikopter hasil inisiatif yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, penerbangan itu terpaksa dibuat selepas pesara tersebut, Othman Mohamed Said, 62, dikatakan mengalami sesak nafas akibat serangan jantung dan memerlukan rawatan segera di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

“Walaupun pesakit itu telah bersara daripada perkhidmatan, kita tetap anggap dia sebahagian daripada kita,” katanya ketika meninjau keadaan pesakit tersebut di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Rawa, Bukit Mertajam, di sini sebelum dia diterbangkan ke Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Othman, penerbangan ihsan yang dikendalikan oleh juruterbang, Superintenden Amirul Adli Ahmad serta pembantunya, Superintenden Mohd. Fairuz Jamil kira-kira pukul 9 pagi itu turut disertai oleh dua orang kru penerbangan, seorang doktor pakar serta seorang jururawat, selain isteri pesakit, Norehan Desa, 50.

Dalam pada itu, adik ipar Othman iaitu adik kepada Norehan, Norisyam Desa, 39, berkata, abang iparnya mula diserang sesak nafas selepas selesai menunaikan solat maghrib di sebuah masjid di sini, kelmarin.

Kata Norisyam, selepas kejadian, kakaknya terus membawa lelaki tersebut ke KPJ Bandar Perda, di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang selepas selesai membuat ujian darah dan sebagainya.

Bagaimanapun kata Norisyam, Othman yang bersara sebagai kakitangan di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 2022 itu, disahkan mengalami serangan jantung selain pembuluh darah yang pecah dan terkoyak selepas mendapatkan rawatan lanjut keesokan harinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI