fbpx

Mafia Sibu tembak tak kena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman CCTV menunjukkan dua suspek melepaskan tembakan ke arah enam lelaki di sebuah kedai kopi di Jalan Wong King Huo, Sibu kelmarin.

SIBU – Dua lelaki berlagak ala mafia apabila melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah sekumpulan enam lelaki yang sedang minum di sebuah kedai kopi dalam kejadian di Lorong 3, Jalan Wong King Huo di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, seorang lelaki yang lengkap berpakaian serba hitam dan memakai topi keledar seperti penghantar makanan dilihat melepaskan tembakan dari jarak dekat, manakala seorang lagi rakannya melepaskan tembakan dari luar kedai.

Ekoran kejadian itu, tiga daripada mangsa mengalami kecederaan di bahagian paha, kaki dan tangan.

Melalui rakaman televisyen ka­mera tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, penembak pertama yang membawa beg kertas berwarna cerah telah mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Penempak kedua turut dilihat melepaskan beberapa das tembakan ke arah meja mangsa dari jarak kira-kira 20 meter.

Penembak pertama kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang mempunyai beg makanan p-hailing di belakang, manakala penembak kedua turut meninggalkan lokasi dengan motosikal lain.

Rakaman CCTV juga menunjukkan seorang mangsa cuba mengejar kedua-dua suspek sambil memegang kerusi kayu

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian berlaku ketika enam lelaki terbabit sedang minum di kedai kopi ber­kenaan sebelum ke gim dan mereka telah didatangi dua lelaki menaiki dua motosikal.

“Seorang daripada suspek melepaskan tembakan dari jarak dekat, manakala seorang lagi melepaskan tembakan dari jarak 20 meter sebelum melarikan diri.

“Pemeriksaan di tempat kejadian menemui 10 butir kelongsong peluru dipercayai daripada pistol separa automatik yang digunakan suspek,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Susulan kejadian itu katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menubuhkan pasukan penyiasat bagi mengesan dua suspek sehingga menyebabkan tiga orang cedera.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Kami akan melihat dari semua sudut mengenai motif kes ini. Dua daripada tiga mangsa yang cedera mempunyai rekod jenayah keganasan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, tiga lagi rakan mereka (yang tidak tercedera) mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan secara sengaja,” katanya.

Zulkipli berkata, seorang mangsa yang cedera tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala lima mempunyai rekod jenayah lampau. Katanya, tiga mangsa berusia dalam lingkungan 27 hingga 33 tahun yang mengalami kecede­raan di bahagian paha, kaki dan tangan kini kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI