fbpx

Shereen enggan rosakkan peluang ke Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHEREEN berpeluang mengikut jejak ibunya yang pernah beraksi di pentas Olimpik Seoul 1988 dalam acara 400m.

RATU pecut 400 meter (m) negara, Shereen Samson Vallabouy belum bersedia beralih ke acara 100m atau 200m kerana ia boleh menjejaskan peluang untuk dia melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, ­Perancis.

Shereen, 25, merasakan peluangnya lebih realistik dalam acara 400m untuk beraksi di Paris pada Julai tahun depan walaupun dia kini memegang status sebagai pemegang rekod 200m kebangsaan menerusi catatan 23.33 saat (s).

Ia berdasarkan kejayaan hebatnya dalam acara 400m sepanjang tahun ini dengan mencipta rekod kebangsaan menerusi masa 51.80s selain turut berjaya meraih pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou, China pada September lalu.

“Sebenarnya saya suka juga 100m dan 200m, tetapi saya tahu 400m boleh pergi lebih jauh pada tahap tertinggi. Jadi fokus saya memang 400m sahaja buat masa ini.

“Andai kata di masa depan saya ada peluang, maka saya akan lari untuk 200m dan 400m asalkan jadual kedua-dua acara ini tak bertembung. Malangnya, ia sentiasa bertembung dalam kejohanan-kejohanan besar.

“Kalau saya teruskan juga, ia akan menjejaskan peluang saya dalam 400m. Sebab itu sekarang saya tak terfikir nak tukar sebab saya dapat rasakan peningkatan yang sangat bagus untuk 400m,” katanya.

Shereen ketika ini berlatih secara profesional sepenuh masa di Florida, Amerika Syarikat (AS) di bawah tunjuk ajar Derrick White sehingga tempoh kelayakan Sukan Olimpik berakhir pada 30 Jun 2024.

Sebagai rekod, atlet dari Ipoh, Perak itu perlu mencapai had kelayakan ditetapkan iaitu 50.95s.

Sekiranya gagal melayakkan diri secara merit, Shereen berkemungkinan besar boleh meraih tiket wildcard ber­aksi di pentas berprestij tersebut.

Ia sekali gus bakal menyaksikan dia mengikut jejak ibunya, Josephine Mary Singarayar sebelum ini pernah beraksi pada Sukan Olimpik 1988 di Seoul, Korea Selatan dalam acara 400m dan sehingga kini masih lagi memegang rekod 800m kebangsaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI