fbpx

Kerjaya tidak halang Sherry tuntut ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita yang kini mengikuti pengajian di MSU ini telah menjelajah ke lebih 30 buah negara.

KESIBUKAN menguruskan kerjaya sepatutnya tidak dijadikan alasan bagi seseorang individu melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi.

Sedekad terbang di awan biru sebagai seorang pramugari tidak menghalang gadis manis dari Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor iaitu Sherry Dinny, 32, meneruskan niat melanjutkan pelajaran dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti di Management & Science University (MSU).

Menurut Sherry, walaupun sudah bergelar ‘Malaysia Airlines Brand Ambassador’, keinginan untuk menggenggam sekeping ijazah membuak-buak dalam dirinya walaupun sudah serasi dengan jadual kerja di awan biru.

“Belajar kembali pada usia sekarang bersama rakan sekelas lebih muda bukan penghalang besar untuk saya.

“Malah, ada pensyarah hampir sebaya saya. Bukan mudah untuk berjaya dalam bidang pelajaran, ia memerlukan keazaman dan keberanian,” katanya ketika ditemui di Bukit Jelutong baru-baru ini.

Sherry yang masih bujang berkata, dia bertuah kerana tidak perlu bercuti sepenuh masa untuk memenuhi komitmen sebagai pelajar yang sememangnya mempunyai kerja kursus yang pelbagai.

Katanya lagi, pihak universiti membenarkan pembelajaran jarak jauh atau pengajian secara dalam talian dan secara fizikal.

“Semua bahan pembelajaran termasuk syarahan dijalankan menerusi dalam talian.

“Hanya sebulan sekali saya perlu hadir secara fizikal ke kampus, selebihnya saya buat pembelajaran kendiri,” jelasnya.

Terangnya, ada juga beberapa subjek yang memerlukan kehadiran sepenuhnya kerana ia berasaskan praktikal.

SHERRY merupakan seorang pramugari yang telah sedekad berkhidmat.

Anak kepada pasangan Dinny Menitis, 60, dan Remelin Salazar, 55, ini berkata, subjek yang berasaskan praktikal menjadi antara cabaran baginya dalam melaksanakan kerja kursus.

“Pun begitu, saya bernasib baik kerana mempunyai pensyarah yang amat memahami keadaan saya yang perlu membahagi masa demi kerjaya dan masa depan.

“Apapun saya berharap bidang kerjaya yang saya ceburi dan bidang pelajaran ini dapat diaplikasi pada masa depan,” ujarnya.

Sherry yang pernah bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jelutong berkata, sebagai pramugari dan pelajar, dia harus sentiasa mengambil tahu pelbagai aspek kehidupan masa kini.

Sebagai seorang pelajar, Sherry berkata, isu ekonomi menjadi antara perkara yang perlu menjadi perhatiannya dalam merancang kehidupan seharian.

“Pascakrisis ekonomi terutamanya disebabkan pandemik Covid-19, bidang ekonomi dilihat menjadi titik fokus semua pihak.

“Strategi pemulihan ekonomi dan pemulihan kestabilan menjadi keutamaan.

“Isu ini melibatkan usaha kerajaan untuk mencapai pertumbuhan yang baik dan menyeluruh yang membawa kepada peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan,” katanya.

Sherry berazam untuk memperuntukkan lebih banyak masa bersama keluarga pada tahun 2024.

Sherry yang merupakan anak kedua daripada empat beradik berkata, dia yakin usaha kerajaan hari ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu Sherry berkata, pandangan tentang ekonomi negara mungkin berbeza bergantung kepada perspektif individu dan faktor-faktor lain seperti pandangan politik, latar belakang ekonomi dan nilai-nilai peribadi.

“Bagi saya, politik Malaysia berlangsung dalam suasana sihat. Ia diseimbangkan oleh pelbagai pandangan yang bebas dizahirkan oleh pelbagai pihak yang mempunyai pendidikan sempurna,” jelasnya.

Sherry yang meminati aktiviti mencabar adrenalin seperti paragliding berkata, sebagai pramugari, dia telah mengembara ke lebih 30 buah negara.

Tambahnya, terbang di awan biru untuk bertugas adalah kaedah terbaik bagi merawat hati atau ‘healing’.

“Apabila sampai ke sesuatu destinasi dan berpeluang mengembara, saya gunakan masa yang ada untuk mengenali budaya setempat di tempat baharu.

“Walaupun meminati makanan Thailand, nasi dagang dan minum kopi, pengalaman menikmati pelbagai jenis hidangan di seluruh dunia amat manis untuk dikenang,” jelasnya.

Sherry yang ingin belajar hingga ke peringkat Sarjana mengingatkan golongan remaja agar menggunakan usia muda mereka untuk menyemai minat dan bakat diri untuk menjadi seorang yang berguna.

Ketika ditanya tentang matlamatnya untuk tahun 2024, Sherry menjelaskan, meskipun sibuk dengan jadual kerja, pada tahun ini, dia berhasrat untuk mencuba sebanyak mungkin pulang ke kampung meluangkan masa bersama keluarga terutama ibunya.

“Selain itu, saya juga berazam untuk menjadikan sukan sebagai gaya hidup saya tahun ini.

“Matlamat utama saya untuk 2024 sudah semestinya untuk memegang segulung ijazah,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI