fbpx

Remaja disimbah asid jalani pembedahan ke-9 Selasa ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN Nadia Fasha Qistina yang telah menjadi mangsa simbahan asid pada 8 November lalu.

SHAH ALAM – Seorang remaja perempuan yang menjadi mang­sa simbahan asid bulan lalu akan menjalani pembedahan kesembilan yang dijangka dilakukan pada Selasa ini.

Nadia Fasha Qistina Azman Shah, 19, menjadi mangsa kekejaman individu tidak dikenali ketika pulang kerja iaitu dari sebuah klinik di Denai Alam menuju ke rumahnya di Sungai Buloh, dekat sini pada 8 November lalu.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira pukul 5 petang dengan mangsa yang sedang menunggang motosikal disimbah asid oleh penjenayah yang me­nyamar sebagai pekerja e-hailing.

Bapa remaja tersebut, Azman Shah Mohammad, 43, berkata, proses pembedahan melibatkan kelopak mata itu dimaklumkan oleh doktor pakar di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, ini merupakan pembedahan kedua bagi bahagian sama untuk menggantikan atau memperbetulkan semula kelopak matanya.

“Secara keseluruhannya, ini adalah pembedahan kesem­bilan dan bahagian kelopak matanya akan dibedah sekali lagi pada Selasa ini.

“Mata dia ‘okey’ dan itu mengembirakan kami walaupun anggota badan lain masih teruk dan memerlukan penukaran tisu dan kulit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Kata Azman Shah yang merupakan peniaga burger itu, anak sulung daripada tiga beradik itu berada dalam wad khas de­ngan kehadiran pelawat adalah terhad bagi mengelakkan sebarang jangkitan.

Ujarnya, Nadia juga berada dalam keadaan stabil dan boleh makan walaupun menggunakan tiub selain telah boleh bercakap.

“Keadaan anak saya masih dalam trauma dan saya sentiasa memberikan motivasi kepada­nya untuk terus kuat. Jadi, saya berharap orang ramai sama-­sama mendoakannya.

“Berhubung motif kejadian, saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis kerana enggan mengganggu proses siasatan,” ujarnya.

Azman Shah memberitahu, sepengetahuannya Nadia tidak mempunyai sebarang musuh, manakala dia sebelum ini merupakan pelajar di sekolah asrama penuh tahfiz sejak dari sekolah rendah.

“Dia baru bekerja di klinik tersebut selama enam hari selepas tamat pengajian peringkat sijil di salah sebuah kolej swasta di negeri ini.

“Mula-mula kami ingat dia (Nadia) kemalangan motosikal selepas menerima panggilan kecemasan daripada sebuah klinik di Denai Alam, namun selang beberapa minit apabila dihubungi semula, mereka memaklumkan ada kena simbahan asid sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Mengulas mengenai bantuan, Azman Shah berkata, setakat ini dia telah menerima sejumlah RM10,000 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) selepas permohonan bantuan dibuat Hospital Sungai Buloh.

Justeru, mereka yang ingin membantu boleh menyalurkannya di akaun Bank CIMB 7026-6395-38 atas nama Azman Shah Mohammad.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, seramai 12 individu te­lah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Kita sedang berusaha me­ngesan suspek terlibat dan motif kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI