fbpx

NDCC keluar notis kesiapsiagaan operasi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana susulan amaran cuaca berterusan peringkat waspada oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada pukul 2 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat negeri dan daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

Katanya, Jawatankuasa itu juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.

“Semua Pusat Operasi dan Kawalan Bencana Peringkat Pusat hendaklah memanjangkan notis ini ke peringkat negeri dan daerah.

“Nadma melalui NDCC akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambahnya, NDCC sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel [email protected].

Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Terengganu, Pahang dan Johor sehingga esok.

MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, kawasan yang terlibat di Terengganu adalah Dungun dan Kemaman.

“Di Pahang, kawasan yang terlibat adalah Jerantut, Kuantan, Pekan dan Rompin manakala Johor pula adalah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI