fbpx
LESEN syarikat pengendali e-hailing boleh ditarik jika membenarkan pemandu warga asing membawa penumpang. – GAMBAR HIASAN

Pemilik ID boleh disenarai hitam, syarikat e-hailing ditarik lesen – APAD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Lesen syarikat pengendali e-hailing boleh ditarik semula, manakala pemilik identiti (ID) boleh disenarai hitam sekiranya menyewakan ID mereka kepada pemandu warga asing menggunakan.

Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menegaskan, mereka tidak akan berkompromi dan memandang serius mengenai dakwaan pemandu asing menawarkan perkhidmatan e-hailing di negara ini susulan laporan muka depan Kosmo! semalam.

APAD dalam kenyataan menegaskan, syarikat pengendali e-hailing hendaklah memastikan pemandu yang didaftarkan mempunyai Lesen Vokasional Kenderaan Awam (PSV) secara sah sebelum dibenarkan beroperasi.

APAD juga mengingatkan pemandu e-hailing yang berdaftar untuk tidak menyewakan identiti (ID) mereka kepada pihak luar termasuk warga asing atau me­nukar pemandu secara ha­ram kerana boleh mengundang pelbagai risiko keselamatan dan jenayah berbahaya.

“Jika pemandu membuat tindakan penyewaan ID tanpa pengetahuan syarikat dan syarikat hendaklah menyenarai hitam pemandu ber­kenaan dan tidak dibenarkan beroperasi.

“Tindakan lanjut di bawah Jabatan Pendaftaran Negara perlu disemak dan jika disabitkan kesalahan akan dikenakan denda di bawah peraturan sedia ada,” katanya kepada ­Kosmo! Ahad semalam.

Mengulas lanjut mengenai permohonan lesen PSV, kata­nya, golongan warga ­asing tidak layak untuk memohon lesen PSV dan secara jelas menjadi satu kesalahan sekiranya mereka menawarkan perkhidmatan e-hailing kepada pelanggan.

Tambahnya, syarikat pe­ngendali juga perlu memainkan peranan serius dalam menangani isu terbabit agar tidak sewenang-wenangnya membiarkan pekerja mereka menawarkan sistem sewaan ID atau membiarkan kenderaan berdaftar dipandu warga asing.

Jelasnya, jika pihak syarikat gagal berbuat demikian, mereka bakal berdepan dengan penggantungan dan pembatalan lesen perniagaan.

“Pihak MOT melalui APAD mengawal selia perkhidmatan e-hailing melalui pengeluaran lesen perniagaan pengantaraan (LPP) dan permit kenderaan e-hailing (eVP) dan syarat lesen kepada syarikat.

“Antara syarat lesen peme­gang LPP hendaklah memastikan bahawa pemandu e-hailing mempunyai lesen PSV. Warga asing tidak layak pohon lesen PSV. Tindakan penggantungan atau pembatalan LPP boleh diambil di bawah Seksyen 12D, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] sekiranya sabit kesalahan,” tegasnya.

Setakat ini APAD memberi­tahu, pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkaitan dakwaan pemandu asing bawa e-hailing serta melibatkan sindiket penyewaan ID e-hailing oleh pemandu tempatan.

“Tiada aduan yang diterima setakat ini oleh APAD mengenai dakwaan berkenaan.

“Sekiranya benar, pihak MOT memandang serius terhadap dakwaan tersebut dan akan meneliti kesahihan maklumat berkenaan sebelum tindakan lanjut diambil dan akan dirujuk kepada agensi berkaitan untuk tindakan susulan yang berkaitan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN