fbpx
ORANG ramai disaran supaya menabung terutamanya untuk tujuan kecemasan. – Gambar hiasan

Berapa lama nilai aset kita boleh bertahan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Menjelang tahun 2024 yang bakal tiba tidak lama lagi, perancangan kewangan peribadi dan keluarga merupakan antara perkara paling penting untuk dibina sekarang bagi memastikan semua direncanakan berjalan lancar.

Melalui perancangan kewangan, kita dapat mengenal pasti cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa tertentu.

Malah, perancangan yang teliti bertindak sebagai garis panduan untuk membantu kita mencapai sesuatu matlamat kewangan dengan lebih teratur.

Bagi berkongsi tip kewangan menjelang tahun baharu, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual pakar kewangan terkenal, Azizi Ali baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Kita sudah memasuki minggu terakhir tahun 2023, apakah yang tuan boleh simpulkan mengenai tahun ini dalam sudut kewangan dan ekonomi? Adakah tahun ini cukup mencabar?
Azizi Ali: Setiap tahun mencabar. Setiap tahun ada cabaran dan masalah baharu dan unik. Saya pasti 2023 juga begitu. Ada orang yang mengaut untung besar, bisnes menjadi dan ada orang terpaksa menutup bisnes mereka.

Secara personal, tahun ini adalah tahun pertama saya sebagai seorang pesara. Apa yang menariknya, kehidupan saya dalam sudut kewangan masih seperti biasa iaitu berusaha untuk menambahkan pendapatan (daripada bisnes dan pelaburan) serta menguruskan pelaburan sedia ada. Saya rasa ini akan berterusan sampai ke akhir hayat.

Perubahan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit telah menjejaskan ramai pihak. Keadaan ini juga menyebabkan orang ramai sukar menyimpan wang disebabkan perubahan tersebut. Apakah pendapat tuan mengenai situasi itu?
Saya pasti perubahan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit telah menjejaskan beberapa pihak. Namun, saya tidak pasti yang kedua-dua fenomena itu menyebabkan orang ramai sukar menyimpan wang.

Saya rasa mereka yang sukar menyimpan wang akan menghadapi isu sama jika harga barang kekal dan nilai ringgit tidak jatuh.
Jadi, ia bukan faktor luaran tetapi faktor dalaman termasuk kekurangan ilmu kewangan yang menyebabkan sesetengah orang sukar menyimpan wang.

Kita dapati, walaupun ekonomi negara kurang baik pada tahun ini, namun rakyat Malaysia tetap berbelanja dan pergi bercuti termasuk ke luar negara. Pada pendapat tuan, adakah rakyat di negara ini boros dan tidak mementingkan hal kewangan?
Kenyataan yang rakyat di negara ini boros dan tidak mementingkan hal kewangan adalah tidak tepat. Saya tahu ramai antara kita yang memang mementingkan hal kewangan dan jauh lebih prihatin tentang subjek ini daripada ibu bapa mereka. Namun, mungkin ilmu mereka itu masih cetek.

Bagi menjawab soalan ini, saya perlu menjelaskan yang kita hidup di planet yang sama tetapi kita hidup di dunia berbeza.

Mereka yang mempunyai wang akan tetap ada wang. Keadaan ekonomi yang lembab tidak memberi banyak kesan negatif kepada mereka. Jadi, tidak salah mereka untuk pergi bercuti di sana sini termasuk ke luar negara.

Keduanya, saya rasa sebahagian daripada orang yang pergi bercuti itu adalah untuk melepaskan geram seperti istilah Inggeris ‘revenge holiday’.

Ini kerana, mereka tidak dapat bercuti pada tahun 2020 dan 2021 kerana ‘lock down’. Jadi, walaupun bajet mungkin kurang, tetapi mereka masih pergi bercuti untuk melepaskan geram tadi.

Biasanya pada akhir tahun, orang ramai akan menilai kembali prestasi kewangan mereka sama ada baik atau buruk. Pada pendapat tuan, apakah indikator-indikator yang perlu dilihat bagi menilai prestasi kewangan seseorang?
Satu indikatornya adalah net worth (nilai bersih) iaitu nilai aset kita dalam ringgit setelah menolak jumlah semua liabiliti daripada nilai jumlah semua aset kita.

Jika nilai bersih kita pada 31 Disember lebih tinggi daripada angka nilai bersih pada 1 Januari, ini bermakna kita telah menguruskan kewangan dengan bijak pada tahun 2023.

Jika angka nilai bersih anda itu boleh bertahan dua atau tiga tahun belanja, maka anda berada di tahap selesa.
Jika angka nilai bersih anda itu boleh bertahan lima tahun belanja, maka anda yang patut menjawab semua soalan-soalan ini.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia tiada tabungan termasuk ketika kecemasan. Apakah sebab utama perkara itu berlaku? Apakah usaha yang boleh dilakukan bagi memulakan simpanan untuk kecemasan?
Ya, saya ada membaca laporan Bank Negara Malaysia tidak lama dahulu yang 75 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai RM1,000 wang simpanan. Angka ini mengejutkan dan membimbangkan.

Dua sebab utama situasi tragis ini wujud adalah kerana kurangnya ilmu kewangan dan tiada tindakan.

Jadi, solusi pertamanya, kita perlu menambahkan ilmu kewangan. Bermula dengan membaca buku-buku tentang pengurusan wang peribadi (managing personal finance).

Kerajaan pula perlu mengambil bahagian secara proaktif. Contohnya, bermula dengan mengadakan program pengurusan wang peribadi di setiap kolej dan universiti.

Jadi, setiap pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) perlu menghadiri program pengurusan wang peribadi selama tiga hari, tidak kira kursus apa yang mereka pelajari.

Ilmu kewangan adalah kritikal kerana ia menjelaskan langkah-langkah yang kita perlu ambil untuk membina kehidupan lebih baik, selesa dan mewah.

Sebagai contoh, apabila mereka tahu akan kepentingan mewujudkan dana rizab, sebahagian besar orang akan mewujudkan dana rizab tanpa disuruh.

Apabila mereka tahu akan kepentingan mempunyai takaful perubatan (medical card), sebahagian besar orang akan membeli takaful perubatan dengan sendiri.

Tinggal beberapa hari saja lagi, kita akan melangkah ke tahun baharu. Pastinya, tahun 2024 lebih mencabar terutamanya menerusi jangkaan penghapusan subsidi dan pengenalan cukai baharu. Bagaimana tuan menjangkakan kewangan masyarakat pada tahun depan?
Seperti yang saya jawab sebelum ini, setiap tahun adalah mencabar. Setiap tahun akan mempunyai cabaran dan masalah baharu. Saya pasti 2024 juga begitu.

Pada masa sama, kita juga ada solusi kepada cabaran dan masalah ini. Apa yang lebih menarik, solusi tetap sama iaitu ilmu dan usaha.

Tambahkan ilmu yang relevan dan berusaha dengan lebih bijak. Insya-Allah, kita akan berjaya menangani semua isu, cabaran dan masalah.

Saya boleh berkongsi satu lagi solusi di sini iaitu cipta pendapatan tambahan.

Create multiple streams of income source (MSI), solution ini ‘applicable’ untuk semua orang, bukan sahaja mereka berpendapatan rendah, malah golongan kaya juga perlu mencipta pendapatan tambahan ini.

Pendapatan tambahan ini bukan sahaja daripada hasil kerja aktif, tetapi daripada pelaburan. Dua contoh MSI tanpa kerja aktif adalah sewa daripada hartanah dan royalti menerusi hasil penulisan.

Saya sendiri telah mempraktikkan MSI ini sudah lebih 30 tahun. Jadi, saya amat mengesyorkan MSI ini.

Sekiranya orang ramai mempunyai lebihan pendapatan, apakah pelaburan terbaik yang boleh dilakukan pada tahun depan? Ada yang mencadangan supaya membeli rumah dan emas, adakah ia tepat?
Pelaburan terbaik ialah ilmu kewangan dan pelaburan. Berbekalkan ilmu kewangan, seorang yang pokai boleh membina kekayaan. Tanpa ilmu kewangan, seorang jutawan boleh menjadi bekas jutawan.

Bagi menjawab soalan tentang pelaburan, hartanah dan emas fizikal memang merupakan dua pelaburan yang baik. Malah, hartanah dan emas fizikal merupakan pelaburan mandatori untuk semua orang.

Pada masa sama, kita masih memerlukan ilmu walaupun melabur dalam hartanah dan emas.

Jika salah pilih lokasi dalam hartanah, kita boleh menanggung kerugian apabila melabur dalam hartanah. Jika salah pilih produk, kita boleh menanggung kerugian apabila melabur dalam emas. Jadi, dapatkan ilmunya dahulu, baru melabur.

Waktu paling kritikal pada tahun depan adalah Mac dan April apabila orang ramai perlu berbelanja besar untuk puasa, Hari Raya Aidilfitri dan persiapan sekolah. Dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh tersebut, apakah persiapan terbaik yang boleh dilakukan orang ramai?
Sebenarnya, kita semua memang akan berbelanja wang besar di bulan-bulan tertentu setiap tahun. Contohnya, belanja besar untuk puasa, hari raya dan persiapan sekolah.

Penyelesaiannya juga senang. Mula menyimpan wang untuk belanja besar itu seawal mungkin.

Sebagai contoh, kita tahu kita akan membelanjakan RM5,000 untuk hari raya dan persiapan sekolah. Jadi, mula menyimpan RM500 sebulan selama 10 bulan lebih awal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN