fbpx

‘Rasa seperti hidup dalam buangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che HUSSAIN (kanan) menunjukkan telefon pintarnya yang tidak mempunyai rangkaian internet ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Bayu Dalam, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Penduduk di Kampung Sungai Bayu Dalam di sini mendakwa umpama hidup dalam buangan kerana tidak dapat menikmati perkhidmatan rangkaian te­lefon dan internet sejak 10 tahun lalu.

Penduduk, Che Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 75, berkata, ketiadaan kemudahan itu menyebabkan 50 penduduk sukar berhubung orang luar sekiranya mempunyai perkara kecemasan kerana kampung tersebut terletak di kawasan ladang getah dan kelapa sawit.

Menurutnya, penduduk terpaksa keluar melalui jalan ladang berbatu sejauh tiga kilometer bagi mendapatkan rangkaian te­lefon dan capaian internet untuk berkomunikasi.

“Saya duduk di sini seperti orang buangan sebab hendak tahu perkembangan terkini memang susah. Kami perlu keluar dan berada di pinggir jalan Gua Musang-Kuala Krai sekiranya mahu mendapatkan liputan.

“Kami amat berharap pihak berwajib dapat mengambil perhatian supaya rakyat di pedalaman juga dapat menikmati kemudahan telekomunikasi,” katanya ketika ditemui di rumah­nya semalam.

Che Hussain memberitahu, dia tinggal di tanah persendirian di kampung tersebut sejak 10 tahun lalu dengan mengusahakan kebun.

Jelasnya, penduduk tidak menghadapi masalah keperluan asas lain seperti bekalan elektrik dan air bersih kerana sudah disediakan pihak berkaitan.

Seorang lagi penduduk, Mek Som Awang, 73, berkata, ketiadaan rangkaian telekomunikasi menyebabkan dia sukar dihubungi klinik kesihatan bagi mendapatkan tarikh janji temu untuk penyakit jantung dan darah tinggi yang dihida­pinya.

“Setiap bulan saya perlu mengambil ubat, manakala janji temu dengan pakar pula tiga bulan sekali.

“Dengan keadaan kesihatan sekarang saya juga harus sentiasa berhubung dengan anak-anak yang tinggal di Kuala Lumpur.

“Saya bertambah risau bila berlaku kes serangan gajah liar baru-baru ini yang meragut nyawa warga asing. Saya hanya tahu kejadian itu selepas melihat beberapa buah kereta polis lalu di hadapan rumah,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut untuk diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Kita harap tindakan segera dapat diambil kerana kampung itu masih tercicir mendapat liputan telekomunikasi,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap MCMC Kelantan memaklumkan, pihaknya telah mengambil maklum mengenai masalah tersebut dan siasatan lanjut akan dijalankan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI