fbpx

‘Tiada lagi penyanyi tukar baju berkilau 7 kali atas pentas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M. DAUD KILAU

PETALING JAYA – Pemergian penyanyi legenda Allahyarham Datuk M. Daud Kilau yang menghembuskan nafas terakhir meninggalkan impak besar terhadap industri seni tanah air.

Perkara itu diakui Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez yang menyifatkan beliau sebagai penghibur sejati yang tiada galang ganti.

“Arwah seorang penghibur legenda yang sudah berada dalam industri muzik tanah air selama 60 tahun.

“Sepanjang hayatnya, dia telah menghiburkan ramai dengan aksi hebat ketika membuat persembahan pentas, penuh gimik dan kejutan,” katanya ketika Kosmo! Online.

FREDDIE FERNANDEZ berkata, tiada lagi penghibur seni tanah air seunik Allahyarham M. Daud Kilau. – SHAHRIL AZMAN

Tambah Freddie, Allahyarham merupakan ikon gelek setiap kali membuat persembahan yang sehingga hari ini masih segar dalam ingatan ramai.

Bahkan, lagu-lagunya seperti Cek Mek Molek, Pening dan Gila Judi juga masih menjadi siulan sehingga kini.

“Penyanyi mana yang mampu bertukar baju berkilau sebanyak tujuh kali di atas pentas? Itu memang momen paling diingati ramai.

“Pemergiannya satu kehilangan besar dan tiada individu yang mampu mengganti tempatnya. Tiada sesiapa boleh bergelek sepertinya.

“Namun, kita harus akur dengan ketentuan takdir perlu menerima berita pemergiannya dengan hati yang reda,” tuturnya yang kali terakhir bertemu untuk menziarahi arwah sekitar tahun lalu di Bagan Datuk, Perak.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang juga bintang veteran, Datuk DJ Dave menyifatkan beliau sebagai seorang yang kelakar dan penghibur kepada sahabat handai.

DJ DAVE menyifatkan pemergian Allahyarham M. Daud Kilau sebagai satu kehilangan besar industri muzik tanah air.

“Arwah merupakan seorang individu yang kelakar dan sering menghiburkan kami kerana suka membuat lawak.

“Saya melihatnya sebagai penyanyi yang unik terutama dari aspek pakaian dan persembahan terutama gelekannya dalam setiap persembahan,” ujarnya.

Tuturnya lagi, dia agak terkejut ketika menerima berita pemergian arwah hari ini.

“Saya tahu dia sudah sakit sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun tidak menyangka arwah akan pergi secepat ini.

“Kali terakhir saya bertemu Allahyarham adalah pada awal tahun ini dan dia menjamu saya dengan ulam-ulaman kerana dia tahu saya memang gemar dengan makanan itu.

“Beliau akan kekal diingati dan dirindui ramai, semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya lagi.

Terdahulu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita raja gelek Malaysia, M. Daud Kilau, 85, meninggal dunia pada pukul 4.46 di Hospital Teluk Intan, Perak akibat pelbagai komplikasi penyakit, semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI