fbpx

Polis tunggu laporan Puspakom, kimia nahas dua guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kemalangan membabitkan dua guru yang maut dirempuh pemandu mabuk di Jalan Permatang Baru, Kepala Batas, Sabtu lalu.

SEBERANG PERAI – Polis masih menunggu laporan dari Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan kimia sebelum melengkapkan kertas siasatan berhubung kemalangan jalan raya sehingga mengakibatkan dua guru maut akibat dirempuh pemandu mabuk, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner, Mohd. Asri Shafie, berkata, pihaknya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya sejurus kedua-dua laporan terbabit diterima.

“Buat masa ini, kita sedang tunggu laporan kimia, Puspakom untuk rujuk DPP (Timbalan Pendakwa Raya),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, suspek berusia 46 tahun yang direman selama tiga hari bagi membantu siasatan
mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dibebaskan dengan jaminan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa iaitu Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32 yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bunga dan rakannya, Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31 yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phei Shin disahkan maut ditempat kejadian akibat tersepit.

Mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi dikatakan bertembung dengan pemandu kereta jenis BMW yang hilang kawalan di Jalan Permatang Baru, Kepala Batas di sini. Dalam kejadian itu, pemandu BMW tidak mengalami sebarang kecederaan.

Hasil ujian pernafasan yang dilakukan ke atas pemandu BMW terbabit mendapati dia memandu dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol yang tinggi.

Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa terbabit menghadiri makan malam bersama empat lagi rakan di salah sebuah restoran di Kepala Batas bagi meraikan salah seorang daripada mereka yang akan bertukar ke sekolah baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI