fbpx

Pelanggan dari ‘neraka’, pertikai barangan dapur percuma daripada pemilik ‘homestay’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perkongsian pemilik inap desa yang kecewa dengan rungutan pelanggannya kerana mempertikaikan kualiti barangan makanan disediakan.

PETALING JAYA – “Homestay (inap desa) awak guna beras apa ini? Kami masak tak seleralah nak makan nasi macam ini. Telur gred C ke D ini? Kami ramai, telur 12 biji je ke?.”

Demikian antara komen dari pelanggan yang menempah satu malam berada di sebuah inap desa di Melaka.

Menerusi perkongsian pemilik inap desa tersebut di Facebook semalam, dia seolah-olah terkejut dengan maklum balas pihak pelanggan apabila mempertingkai kualiti barangan dapur yang disediakan di dalam rumah secara percuma.

Katanya, jarang sekali tuan rumah akan menyediakan barangan lengkap termasuklah makanan sampingan seperti roti dan beberapa keperluan memasak lain kepada pelanggan, namun dia berbuat demikian atas niat untuk sedekah.

Bagaimanapun, kebaikannya itu seperti tidak dihargai sehingga pelanggan menyifatkan tuan rumah seperti mahu memberi makan kepada ayam apabila hanya membekalkan keperluan barangan yang dianggap tiada kualiti.

Dalam pada itu, pemilik tersebut turut memuat naik beberapa tangkap layar perbualannya bersama pelanggan terbabit di WhatsApp.

“Orang bayar RM250 bukan sikit bagilah beras elok sedikit, lain kali bagi beras wangi atau paling ‘lowclass’ pun beras basmathi, bukan beras murah macam itu nak bagi orang makan.

“Ingat kami ini ayam ke nak bagi makan beras macam itu? Dah lah kicap sos pun cap Jalen sahaja, ada lagi satu kicap dari China agaknya. Dah macam duduk ‘homestay’ bajet, rumah cantik dah tapi beras, telur entah apa-apa kau bagi orang makan.

“Telur Lo*** gred A pun dah macam gred C, D telur lain. Sebaiknya bagi telur omega, telur lain tak sihat untuk anak-anak. Kami dah lah ramai, berebut semua tak cukup makanan,” komen pelanggan tersebut.

Menurut pemilik, bayaran RM250 semalam bagi sebuah inap desa disediakan empat bilik tidur yang kesemuanya dilengkapi penghawa dingin, manakala bekalan makanan tersebut adalah barangan sedekah untuk pelanggan dari pihak tuan rumah.

“Harga kami RM250 je semalam cik.. Empat bilik semua berhawa dingin, peralatan dan bahan memasak semua kami bagi percuma.

“‘Homestay’ lain tiada sediakan rasanya beras, telur, garam, roti semua itu cik. Kami sediakan sebab niat nak sedekah dan mudahkan urusan pelanggan. Maaflah kalau tak sesuai dengan tekak,” balas pemilik inap desa tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menyifatkan pelanggan tersebut seperti dari ‘neraka’ apabila mempertikaikan segala pemberian sedekah tuan rumah.

“Pelanggan dari ‘neraka’ betul. Kita untung la tuan rumah nak sediakan bekalan makanan untuk pelanggan. Aku bayar RM500 semalam pun hanya dapat rumah dan bilik sahaja. Ini konsep ‘homestay’, bukan pakej buffet. Kau kedekut keluar duit untuk beli makanan, kau bising pula kualiti barangan tuan rumah sediakan. Geram betuo aku baca komen pelanggan ini,” tegur Zain.

“Pelanggan ‘homestay’ ini mungkin tak pernah check in (tempah) hotel. RM250 itu dapatlah bilik hotel dan makan untuk dua orang bukan 12 orang.

“Cuba ‘check in’ hotel dengan bayaran RM250 dan bawa 12 orang itu. Agak-agak jadi sardin tak? Inilah namanya tak bersyukur dan kufur dengan nikmat rezeki, jarang saya jumpa ‘homestay’ sediakan semua ini dengan RM250 murah sangat dengan beberapa barangan percuma,” komen Nad Masrom. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI