fbpx

Covid-19: Agong nasihati rakyat ambil langkah berjaga-jaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin berkata, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya berdisiplin dalam kawalan kendiri.

“Seri Paduka Baginda menasihati rakyat khususnya golongan rentan, warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam, sesak dan tertutup, menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Selain kawalan kendiri tersebut, individu bergejala disaran mengelakkan 3S iaitu berada di kawasan sesak, sempit dan bersembang sebagai langkah pencegahan dan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus,” katanya menerusi satu kenyataan media oleh Istana Negara hari ini.

Zahari berkata, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan kegusaran jika rakyat lalai atau mengambil sikap sambil lewa menyebabkan kes Covid-19 akan terus meningkat, tambahan pula ketika ini musim percutian sekolah yang menyakikan banyak pergerakan dan perhimpunan orang ramai

“Dilaporkan dari l0 Disember hingga 16 Disember 2023 (pukul 12 tengah hari), kes Covid-19 adalah seramai 20,696 pesakit dengan seramai 151 pesakit memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara,” katanya.

Tambah beliau, Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis memantau rapi kes jangkitan virus itu di seluruh negara dan mengeluarkan kenyataan, cadangan serta arahan berkaitan, bergantung kepada situasi semasa.

Sehubungan itu, katanya, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya sentiasa peka dengan perkembangan terkini berkenaan kes Covid-19 di dan arahan yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI