fbpx

Banci Pertanian 2024 libatkan 1.6 juta responden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir (tengah) menyiram anak pokok yang ditanam di Institut Latihan Statistik Malaysia di Sungkai semalam.

TANJUNG MALIM – Banci Perta­nian 2024 (BP 2024) yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan bakal melibatkan 1.6 juta ­responden termasuk petani dan juga pemain industri.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah tersebut diperoleh daripada maklumat terkini melalui sesi libat urus yang dijalankan Jabatan Perangkaan (DOSM) di seluruh negara yang melibatkan interaksi bersama 200 agensi di peringkat persekutuan dan lebih 1,000 agensi di peringkat daerah.

“Ia termasuk menyediakan soal selidik yang dapat menepati ke­perluan bagi pihak kementerian dan juga agensi untuk membuat perancangan.

“Pangkalan data sedang dima­sukkan dan ia sedang diintegrasikan dan pada peringkat awal ini, kita dapati banyak jurang dan terdapat data-data yang tidak konsisten berikutan kali terakhir bancian dibuat pada tahun 2005.

“Jadi, kita akan cuba harmonikan semula data tersebut menerusi pemukiman bancian pertanian di 156 daerah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penghijauan Malaysia sempena Banci Pertanian 2024 di Dewan Sigma, Institut Latihan Statistik Malaysia di Sungkai semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Ismail Parlan.

Pada program itu, sebanyak 350 anak pokok ditanam di tapak semaian seluas 0.68 hektar di situ yang mana 220 anak pokok adalah sumbangan FRIM, manakala selebihnya pula adalah sumbangan warga DOSM.

Antara spesies pokok yang dita­nam adalah pokok jambu, cermai, beruas, sentul, jering, pelung, gajus, kantan, meranti tembaga dan meranti seraya.

Mengulas lanjut Mohd. Uzir berkata, sesi libat urus yang dijalankan di seluruh negara itu mendapat maklum balas baik daripada semua pihak termasuk kerajaan negeri di mana rata-ratanya memaklumkan bahawa mereka memerlukan data yang banyak.

Beliau berkata, data tersebut akan digunakan untuk perancangan masa hadapan termasuk penggunaan teknologi, isu-isu modenisasi dalam sektor pertanian dan penyaluran bantuan kewangan.

“Saya sendiri telah berjumpa dengan para pengamal dalam industri ini iaitu peladang dan petani untuk kita ketahui isu-isu dan kekuatan, contohnya penanaman nanas dan sayuran selain pergi melawat kawasan tanaman kekal.

“Dari situ, kita boleh lihat bahawa perlunya tindakan dan pelaksanaan serta polisi yang amat baik, cuma bagaimana ia dapat ditambah baik lagi.

“Apa yang paling penting kini, kita mahukan kestabilan dalam harga-harga berkaitan pertanian, kerana ini akan menarik lebih ramai pengusaha dalam bidang pertanian,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI