INDUSTRI inap desa yang semakin berkembang di negara ini membuatkan ia menjadi pilihan kepada banyak pihak untuk dijadikan tempat penginapan, khususnya bagi keluarga besar atau kumpulan ramai.
Bagi Amirul (bukan nama sebenar), dia juga kerap menjadikan inap desa sebagai pilihan utama sekiranya dia dan rakan sepejabatnya ditugaskan melakukan kerja luar.
Bagaimanapun, setelah beberapa kali menyewa inap desa sewaktu melakukan tugas di luar pejabat, terdapat satu kejadian seram yang berlaku kepada mereka.
Ketika membuka cerita, Amirul memberitahu, kejadian tersebut berlaku ketika dia dan rakan sepejabatnya menyewa sebuah inap desa di Alor Setar, Kedah pada tahun lalu.
“Ketika itu, saya dan sembilan lagi rakan sepejabat terlibat dalam karnival jualan penghabisan stok di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar selama tujuh hari.
“Disebabkan jumlah kami yang ramai dan tempoh penginapan agak lama, inap desa merupakan pilihan paling sesuai kerana ia lebih menjimatkan.
“Cuma rumah inap desa jenis teres yang kami sewa ketika itu agak ‘lain’.
“Ini kerana kedudukannya terletak di hujung lorong, terdapat sebatang pokok besar yang tumbuh di kawasan semak bersebelahan, sekali gus membuatkan persekitarannya agak suram,” katanya.
Jelas Amirul lagi, disebabkan jualan penghabisan stok yang dilakukan tamat pada pukul 10 malam, maka mereka hanya pulang ke rumah inap desa pada lewat malam.
Katanya, pada hari pertama mereka tinggal di inap desa tersebut, tiada sebarang kejadian aneh yang berlaku.
Namun jelasnya, mereka mula mengalami kejadian pelik pada malam kedua selepas pulang ke inap desa kira-kira pukul 12 tengah malam.
Ceritanya lagi, selepas membersihkan diri, sebahagian mereka masih berbual-bual di ruang tamu sambil menonton filem seram di televisyen walaupun ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi.
“Sewaktu sedang asyik menonton, tiba-tiba kami terdengar pinggan kaca terjatuh ke lantai.
“Tanpa memikirkan yang bukan-bukan, seorang daripada kami terus pergi ke dapur untuk memeriksa apa yang berlaku.
“Sebaik mendapati tiada barangan kaca yang jatuh atau pecah, kami beranggapan bunyi tersebut mungkin datang dari rumah jiran,” katanya.
Menurut Amirul, pada malam keesokannya, selepas pulang dari makan malam, sebahagian mereka akan berbual di ruang tamu sambil menonton televisyen sementara menunggu untuk tidur.
Pada waktu itu, kejadian kaca pecah di bahagian dapur masih berlaku.
Kali ini memang benar ada pinggan yang jatuh dan berderai di lantai.
“Ketika saya dan seorang rakan memeriksa di bahagian dapur, memang benar ada pinggan pecah dan berderai di lantai.
“Sewaktu ingin membersihkan serpihan kaca, tiba-tiba satu lagi pinggan yang terletak di atas rak jatuh ke lantai dan berkecai.
“Terkejut dengan kejadian yang berlaku, saya dan rakan terus berlari ke ruang tamu dan menceritakan perkara itu kepada rakan lain,” ujarnya.
Kata Amirul, disebabkan kejadian menyeramkan itu, mereka mengambil keputusan untuk tidur di ruang tamu.
Namun katanya, gangguan tersebut tidak berhenti setakat itu.
Malah, mereka turut terdengar bunyi seakan-akan pintu gelongsor di bahagian hadapan diketuk dengan kuat sebanyak beberapa kali.
Dalam ketakutan, mereka terus membacakan surah yang dihafal, selain membuka al-Quran dalam telefon bimbit untuk dibaca.
“Keesokan harinya, kami mengambil keputusan untuk keluar dari rumah tersebut dan menghubungi rakan sekerja di ibu pejabat di Kuala Lumpur untuk memberitahu kejadian yang menimpa kami.
“Pihak pengurusan kemudiannya menyewa inap desa yang lain memandangkan kami masih mempunyai empat hari sementara menunggu sesi jualan penghabisan stok berakhir,” katanya.
Menurut Amirul, selepas keluar dari inap desa tersebut, dia dan rakan-rakannya membuat carian berhubung komen daripada pelanggan lain yang pernah menyewa di rumah tersebut.
Katanya, berdasarkan komen yang diberikan, ada antara penyewa pernah mengalami kejadian seram serupa.
Malah katanya, ada antara penyewa yang memberitahu, terdapat sebuah kubur lama yang terletak berhampiran pokok besar bersebelahan rumah tersebut.
Ujarnya, ia mungkin ada kaitan dengan gangguan yang dialami oleh dia dan rakan-rakan serta penyewa inap desa lain.
Ekoran kejadian itu, Amirul akan memeriksa komen daripada penyewa terdahulu setiap kali ingin menyewa inap desa.
Jelasnya, ia bagi mengelak kejadian seram yang pernah menimpa dia dan rakan-rakan berulang lagi.














