fbpx

Tang Jie-Ee Wei tersekat di peringkat kumpulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tang Jie (kiri) dan Ee Wei tersingkir daripada Jelajah Dunia Akhir 2023 di Hangzhou, China selepas menghuni kedudukan tercorot dalam saingan Kumpulan A.

KUALA LUMPUR – Langkah beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2023 di Hangzhou, China tersekat di peringkat kumpulan selepas tewas pada aksi terakhir Kumpulan A sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Sukan Olimpik Hangzhou itu, Tang Jie-Ee Wei dipaksa bermandi peluh sebelum tewas 21-18, 18-21, 14-21 kepada beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, sekali gus menghuni kedudukan tercorot kumpulan.

Tang Jie-Ee Wei yang melakukan penampilan sulung pada kejohanan tersebut bermula langkah kanan apabila menampilkan aksi cukup baik sebelum memastikan kemenangan 21-18 biarpun ditentang hebat pemain lawan.

Tersentak dengan kekalahan awal, Dechapol-Sapsiree yang merupakan bekas gandingan No.1 dunia mula memperkemaskan permainan dan berjaya menjarakkan diri 12-8 sebelum Tang Jie-Ee Wei menyamakan kedudukan 12-12.

Bagaimanapun, beregu Thailand itu membuktikan pengalaman mereka sangat berharga apabila tenang berdepan tekanan demi tekanan yang diberikan pasangan negara untuk mencatat kemenangan dan mengheret perlawanan ke set penentuan.

Memasuki set ketiga, kedua-dua beregu saling berbalas serangan, namun Dechapol-Sapsiree lebih unggul pada penghujung permainan apabila mengutip empat mata berturut-turut untuk memastikan kemenangan mutlak 21-14.

Kemenangan beregu Thailand itu bagaimanapun tidak membawa sebarang makna buat mereka memandangkan Dechapol-Sapsiree turut tersingkir daripada kejohanan apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga.

Menerusi kekalahan Tang Jie-Ee Wei, tidak ada lagi kelibat pemain negara pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$2.5 juta (RM11.70 juta) itu selepas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tersingkir petang tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI