fbpx

Wanita diuji tiga anak sakit kronik disahkan hidap kanser hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annis IRDAHANINI, mengurut badan ibunya, Nashieha yang terlantar selepas menjalani pembedahan di rumah mereka di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah dekat Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Setelah lebih 20 tahun berdepan dugaan menjaga tiga anaknya yang sakit, seorang ibu diuji lagi apabila dirinya pula disahkan menghidap kanser radang hati sejak tiga bulan lalu.

Menurut Nashieha Hassan, 38, selain kanser, dia juga menghidap beberapa penyakit lain berkaitan jantung, paru-paru dan batu karang.

Katanya, penyakit kansernya itu benar-benar mendatangkan kesan terhadap dirinya yang sebelum ini lincah menjaga segala keperluan anak-anak yang sakit.

“Tiga anak saya iaitu Annisa Shazwanee Mohd. Ghazali, 22, Annis Irdahanini, 20, dan Annis Irna Najihah, 17, masing-masing mengalami penyakit jantung berlubang, kanser payudara dan kencing manis kronik.

“Selama ini saya masih mampu untuk menjaga mereka, namun sejak diserang kanser radang hati, saya tidak lagi bermaya.

“Saya juga baru menjalani pembedahan hati empat hari lalu dan buat masa ini masih belum dapat bergerak,” katanya.

Selain tiga anaknya itu, Na­shieha mempunyai seorang lagi cahaya mata hasil perkahwinan keduanya bersama Syed Muhamad Syahafiz Syed Syukri, 39, iaitu Syed Muhamad Shahanaz, 11.

Ujarnya, sebelum ini dia me­nyara hidup dengan mengambil tempahan jahitan, manakala suaminya hanya melakukan kerja-kerja kampung.

“Dalam keadaan sekarang, saya tak mampu me keralakukan apa-apa menyebabkan pendapatan kami terjejas.

“Saya bersama Annis Irdahanini serta Annis Irna Najihah sering berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan. Saya reda dan menganggapnya sebagai ujian Tuhan buat kami,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal berkata, pihaknya akan terus memberi sokongan diperlukan keluarga tersebut.

“Sebelum ini kami membantu anak pasangan ini dan kini Nashieha pula,” katanya.

Orang ramai yang mahu meng­hulurkan bantuan kepada keluarga Nashieha boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0299541100375112 atau menghubungi talian 01139279007.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI